Bidang Kemahiran Kurangkan Tenaga Kerja Warga Asing


SUNGAI PETANI - Penguasaan bidang kemahiran dilihat mampu melahirkan sumber tenaga berkeupayaan bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja warga asing sekali gus mengurangkan aliran wang tunai ke luar negara.

Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, sekiranya lebih ramai rakyat negara ini mahir dalam kemahiran tertentu, diyakini ia mampu mengambil alih pekerjaan warga asing dalam negara.

“Bagi menyediakan pekerja berkemahiran, pendedahan perlu diberikan lebih awal terutama kepada lepasan sekolah,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Program Jelajah Luar Bandar Mara Negeri Kedah di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani yang melibatkan peserta pelajar sekolah daerah Kuala Muda dan Yan.

Tajul berkata, kerajaan sudah menyediakan peluang pekerjaan tetapi peluang itu diisi oleh pekerja asing yang memberi keuntungan kepada ekonomi negara asing kerana pendapatan hasil daripada pekerja asing ini sebahagian atau lebih banyak dibawa pulang ke negara asal mereka dan hanya sedikit dibelanjakan di negara kita.

“Kalau kita mempunyai sumber tenaga berkemahiran yang mencukupi, berkemungkinan 100 peratus pendapatan akan dibelanjakan dalam negara dan semua ini sudah pasti meningkatkan ekonomi.

“Kerana itu saya berpendapat program seperti ini perlu diperbanyakkan bagi memberi galakkan agar pelajar mempunyai minat dan menguasai bidang kemahiran sekali gus memenuhi pasaran dengan pekerja mahir,” katanya.

Tambahnya, program tersebut dilihat bertepatan dengan matlamat kerajaan yang mahu menyediakan pekerja mahir dalam kalangan rakyat kita.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara Kedah, Mohd Azam Jamaluddin berkata, program peringkat daerah Kuala Muda/Yan ini merupakan siri kelima daripada tujuh siri membabitkan keseluruhan 1,800 peserta.

Katanya, Mara menyediakan program pendidikan dan latihan kemahiran yang luas melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), IKM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Profesional Mara, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Giatmara.

Pada program berkenaan, seramai 240 pelajar tingkatan lima dan enam dari 10 buah sekolah terlibat didedahkan dengan peluang kemahiran yang ditawarkan Mara selain Motivasi Kecemerlangan yang disediakan.

Sumber: Sinar Harian