Bimbang Pecah Undi, Pakatan Harapan Mohon "Simpati" PAS Pahang


KUANTAN - Bimbang undi akan pecah, Pakatan Harapan (PH) di Pahang terus merayu agar PAS kembali menilai untuk bekerjasama dengan gagasan pembangkang yang diketuai oleh DAP.

Namun jika PAS masih terus 'berdegil' untuk bersendirian, Sayap Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kuantan akan berusaha memperkukuh sokongan walaupun terpaksa berhadapan dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam kenyataan bersama mereka semalam, Ketua Pemuda PAN Kuantan, Mohd Khalil Zaidi, Pemangku Ketua AMK Kuantan Lee Wei Lon dan Ketua Armada Kuantan Mohd Asyraf Muhammad Asri berkata, PAS hanya akan menjadi parti kecil dan tidak mampu membentuk kerajaan jika tetap tidak mahu berpakat dengan mereka.

"PAS hanya akan memecah undi jika bertanding bersendirian.

"Mereka (PAS) mahu menjadi 'king maker', sedangkan jika berlaku tiga penjuru, bukan sahaja king maker, malah suara mereka pun tidak mungkin sampai ke Parlimen," kata pemimpin Pemuda ketiga-tiga parti itu.

Pada 30 Julai lalu, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar mengesahkan parti itu akan bertanding tiga kerusi 'panas' di Pahang - Kuantan, Bentong dan Indera Mahkota selain tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan Parlimen Bentong.

Kebimbangan parti-parti sekutu PH terhadap pertandinfan tiga penjuru bukan sahaja dirasai di Pahang, tetapi juga di negeri-negeri lain termasuk negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang. - Kedahnews.com