Bola Sepak Punca Rezeki Saya - Thanabalan


N. THANABALAN mengakui bermain bola sepak adalah punca rezekinya dalam memikul tanggungjawab sebagai anak sulung.

Menurut pemain sayap kiri skuad Bawah 22 Tahun ini, tanggungjawabnya sebagai pemain dan anak merupakan dua perkara yang penting memandangkan dia kini mengambil-alih tugas utama menyara ahli keluarganya.

"Bapa saya lumpuh sejak lima tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan. Jadi sebagai anak sulung, saya mengambil alih tugas membantu keluarga.

"Saya akan pastikan kebajikan bapa saya, emak dan dua adik saya terjaga," jelas Thanabalan kepada mStar Online.

Thanabalan memberitahu, dia begitu bersyukur dengan bonus dan insentif yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pemain Skuad B-22 selepas layak ke pusingan akhir Piala AFC 2018.

Setiap pemain menerima RM25 ribu daripada wang sumbangan RM4 juta oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada FAM minggu lalu.

"Sudah tentu wang bonus itu akan digunakan untuk keluarga saya terutamanya bapa yang memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan 'pampers', ubatan, pemeriksaan hospital dan sebagainya. Ia juga dapat membantu adik-adik saya yang masih bersekolah.

"Dalam masa sama, ia juga penyuntik semnagat buat saya untuk mempamerkan permainan yang lebih baik lagi dalam pasukan negara dan tidak mahu mensiakan peluang yang ada," ujarnya yang pernah menyimpan cita-cita menjadi pemandu kereta lumba.

Tambah pemain Felcra FC ini juga, dia berjaya menjadi pemain kebangsaan disebabkan sokongan keluarga serta teman wanitanya.

"Jika saya berjauhan, bapa saya akan telefon dan menasihati supaya tidak risaukan keadaannya. Dia sentiasa menyuruh saya fokus dalam permainan dan melakukan yang terbaik.

"Dalam masa sama juga, teman wanita saya turut membantu keluarga sekiranya berada di luar kawasan. Dia juga banyak menyokong saya dalam kerjaya ini dan memahami tanggungjawab kepada negara dan keluarga," jelasnya sambil menambah teman wanita seorang pelajar kolej dalam jurusan undang-undang.

Thanabalan merupakan pemain utama dalam skuad Datuk Ong Kim Swee ketika saingan kelayakan Piala AFC di Bangkok Julai lalu apabila turut menyumbangkan dua gol dalam dua perlawanan (Indonesia dan Mongolia).

Jesteru itu, dia berharap rentak konsisten akan kekal dalam persiapan menghadapi saingan Sukan SEA 2017 bermula 14 Ogos ini bagi acara bola sepak.

"Sudah tentu saya mahu membantu negara untuk meraih pingat emas. Dalam masa sama akan cuba untuk menjaringkan gol, " ujarnya yang mula mewakilli negara pada tahun 2013 untuk Skuad B-19 Tahun.

Sumber: Mstar Online