KUALA NERANG - Permintaan tinggi terhadap buah-buahan tempatan menyebabkan kes curi sering berlaku di sekitar Padang Terap sejak kebelakangan ini.
Keadaan itu menyebabkan pemilik dusun dikatakan terpaksa bermalam di dusun masing-masing bagi mengelak hasil tanaman mereka dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Mohd Sobri Che Husin, 30, dari Kampung Semeliang, Mukim Belimbing berkata, cempedak di dusunnya yang akan dijual beberapa hari lagi juga nyaris dicuri kelmarin.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 10 malam itu disedari penduduk yang sedang menoreh getah.
“Penoreh tu hairan sebab saya tak pernah ambil buah pada waktu malam dan terkejut tengok seorang remaja sedang kait cempedak guna galah. Separuh daripada buah itu dikatakan sudah dimasukkan ke dalam guni.
"Mereka mengherdik pencuri itu yang kemudian lari masuk ke dalam hutan berdekatan dengan meninggalkan basikal dan galah,” katanya.
Mohd Sobri berkata, penoreh itu kemudian datang ke rumahnya untuk memaklumkan kejadian.
Katanya, ketika tiba di dusun, dia mendapati terdapat dua guni cempedak dan beberapa buah bertaburan di atas tanah.
“Saya yakin ia dilakukan dua atau tiga orang. Buah cempedak dimasukkan ke dalam guni sementara menunggu kenderaan mengambilnya. Sebanyak 35 cempedak dikait pencuri dan nilainya hampir RM300," katanya.
Mohd Sobri berkata, kes curi semakin menjadi-jadi dipercayai akibat kenaikan harga buah musim ini kerana pengeluaran sangat kurang di daerah lain.
“Musim lalu harga cempedak hanya sekitar RM2 atau RM3 sekilogram (kg), tapi tahun ini mencecah hingga harga RM7 per kg. Difahamkan, bukan cempedak saja mahal, tapi juga durian hingga menyebabkan pemilik dusun terpaksa bermalam di dusun masing-masing bagi mengelak buah-buahan mereka dicuri,” katanya.
Che Rohana Abd Rashid, 40, dari Kampung Semeliang berkata, dua pokok cempedaknya turut menjadi mangsa pencuri, baru-baru ini.
“Saya kecewa dengan tindakan itu. Saya yakin buah-buah itu akan dijual di pekan kerana harganya sangat tinggi tahun ini.
“Aktiviti ini semakin aktif, tambah pula kejatuhan harga getah sejak akhir-akhir ini yang menyebabkan pencuri beralih kepada buah-buahan pula,” katanya.
Sumber: Sinar Online