Budak Sekolah Lengkap Berpakaian Uniform Berani Rasuah Polis


IPOH - Seorang remaja lengkap berpakaian uniform sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di hadapan sekolah rendah di Pasir Bongak, Pangkor dekat sini April lalu.

Tertuduh yang berusia 18 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan namun hukuman terhadapnya akan dijatuhkan selepas laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadapnya dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan RM50 kepada Lans Koperal Mohd. Farid Ahmad sebagai dorongan untuk tidak menyamannya atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Tertuduh yang bekerja sebagai mekanik itu didakwa melakukan kesalahan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Lian, Pasir Bongak, Pangkor pada pukul 2 petang 18 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim S. Indera Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, bekas Pegawai Geologi, R. Tangavelu, 61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM300 daripada Mohamad Imran Abdullah yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di bilik pejabat Jabatan Mineral dan Geosains, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada pukul 4.10 petang 4 September 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo