'Bukan Semua Mampu Miliki Peranti'


BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Pendidikan tidak mewajibkan setiap pelajar membawa peranti ke sekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana memahami tidak semua waris mampu menyediakan alat itu untuk anak mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peranti hanya akan digunakan sebagai alat tambahan bagi membantu pelajar membuat rujukan serta lebih interaktif antara guru dan pelajar.

"Perkara ini sangat sensitif pada pandangan masyarakat, jadi pihak saya ingin menegaskan, membawa alat peranti ini bukan wajib dan bukan satu paksaan, proses PdP masih berjalan seperti biasa.

"Tidak semua mampu memiliki peranti...ia berdasarkan keupayaan yang ada, malah pihak kementerian juga sedar tidak semua kawasan sekolah mempunyai liputan Internet yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali Kelima dan Persaudaraan Antarabangsa 2017 di Kolej Pertanian Malaysia, di sini, malam tadi.

Seramai 4,000 pengakap dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai jambori pengakap berkenaan, sekali gus menjadi penyertaan paling ramai berbanding empat penganjuran sebelum ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Shafei Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sehingga kini, panel bersama Kementerian Pendidikan menetapkan hanya peranti yang dibenarkan sahaja dibawa ke sekolah berikutan alat itu sudah lama digunakan di sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi.

Katanya, biarpun terdapat cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana fungsinya hampir sama, alat komunikasi itu belum termaktub dalam peraturan Kementerian Pendidikan.

"Telefon bimbit tak ada dalam peraturan, satu hari nanti apabila sampai masa kita boleh tetapkan.

"Buat masa sekarang, kita tetapkan peranti yang dibawa ke sekolah bukan telefon bimbit.

"Bagi penggunaan peranti ini pula, kementerian juga belum putuskan berapa jam sehari ia akan digunakan dalam PdP, termasuk waktu dan subjek yang sesuai untuk menggunakannya," katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini pernah bercadang membenarkan penggunaan alat peranti di sekolah bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdP) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan.

Sumber: BH Online