KUALA LUMPUR - Seorang bayi, Dwayne Ryden Romy, 1 bulan mungkin terpaksa menangguhkan pembedahan membetulkan injap songsang di Hospital Gleneagles, di sini, jika tidak mendapat bantuan dalam tempoh terdekat.
Bayi lelaki berkenaan yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM70,000 untuk membiayai kos pembedahan secepat mungkin bagi mengelak masalah lebih serius.
Ibu bayi berkenaan, Debbee Brawie, 27, berkata, dia dan suami, Rony Paul, 27, mendapat tahu Dwayne menghidap masalah injap songsang sejak bayi itu lahir pada 25 Jun lalu.
“Ketika mengandung, doktor beritahu bayi saya berada normal hasil pemeriksaan kesihatan secara berkala di sebuah hospital.
“Pada ketika itu, saya dan suami langsung tidak menyedari kandungan saya bermasalah sehingga saat bayi dilahirkan,” katanya.
Menurutnya, selepas bersalin, keadaan menjadi huru-hara di mana doktor dan jururawat segera membawa Dwayne ke tempat lain dan merasakan ada sesuatu tidak kena pada bayinya.
“Kami sekeluarga menyedari anak mengalami masalah injap songsang selepas doktor memberitahu wajah anak bertukar kebiruan selepas dilahirkan.
“Kami tidak mampu menampung kos pembedahan ini kerana saya hanya bekerja sebagai jururawat perindustrian manakala suami bekerja sendiri,” katanya.
Sementara itu, remaja perempuan orang kurang upaya, Wong Rui Xin, 18, mengalami masalah injap pulmonari tidak normal sejak berusia setahun.
Ibunya, Len Kam Mooi, 50, berkata, anaknya memerlukan RM50,000 untuk penggantian injap pulmonari baru bagi membetulkan fungsi injap untuk kembali normal.
“Ini pembedahan kedua anak saya selepas pembedahan pertama berikutan masalah jantung berlubang pada 31 Julai 2000.
“Anak saya mengalami masalah injap pulmonari tidak normal dan memerlukan penggantian injap baru supaya dapat mengurangkan bengkak,” katanya.
Dia yang juga suri rumah sepenuh masa tidak dapat menampung kos pembedahan kerana tidak bekerja dan mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan nama individu yang ingin dibantu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.
Sumber: MyMetro