ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mencadangkan pihak masjid menyumbangkan sedikit derma yang diterima daripada orang ramai agar dapat disalurkan kepada golongan asnaf dalam qariah masing-masing.
Katanya, kerajaan akan menggantikan kembali jumlah sumbangan masjid itu secara 'one to one' atau sama banyak dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak masjid kepada golongan asnaf di kawasan masing-masing.
Menurut Menteri Besar, masjid-masjid juga boleh memberikan derma itu kepada penduduk miskin yang bukan beragama Islam di kawasan qariah masing-masing kerana mereka juga berhak dibantu.
"Idea ini timbul selepas saya tersentuh hati dengan keluhan rasa seorang penghantar WhatsApp kepada saya, " kata Ahmad Bashah yang membacakan mesej itu semasa membuat penggulungan sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri di sini ditangguhkan.
Pengirim mesej itu antara lain memaklumkan terdapat masjid yang mengutip derma sehingga berpuluh ribu ringgit setiap Jumaat, tetapi tidak memikirkan ada anak qariah yang tinggal berhampiran tepi masjid yang tiada beras untuk dimasak dan tiada gas untuk memasak.
Pihak masjid sebaliknya, kata penghnatar mesej itu, hanya memikirkan untuk mengganti karpet baharu, hawa dingin baharu dan mengindahkan lagi masjid.
Kata penghantar mesej itu lagi, ramai yang tidak sedar di dalam bandar juga ada kemiskinan dan mereka yang berkereta bukan bermakna hidup mereka dalam kesenangan.
Contohilah sesetengah pihak gereja yang membantu memberi makan dan bantuan lain kepada fakir miskin tanpa mengira agama dan tanpa bertanya kedudukan penerima bantuan itu.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, beliau akan meminta Exco agama membincangkan dengan pihak yang menguruskan masjid di seluruh negeri bagi mengambi inisiatif yang cukup baik itu.
Ini adalah antara usaha murni masjid bagi mendekatkan anak-anak qariah dengan masjid walaupun tidak dinafikan banyak masjid yang membatu anak qariahnya, kata Ahmad Bashah lagi.
Menurut Menteri Besar, apa yang beliau bacakan itu adalah maklumat atau pandangan yang baik yang wajar ditular dan bukannya kata-kata nista atau kata-kata menghasut dan memfitnah orang lain.
Semasa merasmikan persidangan dewan Ahad lepas, Sultan Kedah menegur sesetengah pihak, pemimpin politik, ilmuan agama yang menggunakan media sosial untuk berdebat secara tidak beradab hingga membuatkan rakyat berbalah akibat fahaman politik yang berbeza. - Kedahnews.com