BOT membawa 12 pemancing terputus hubungan selepas mengalami kerosakan enjin di tiga batu nautika barat daya perairan pelantar minyak Saint Joseph, Kota Belud, 7.35 malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan satu kejadian bot pemancing Ocean Camara berwarna biru kuning mengalami kerosakan enjin.
"Menerusi maklumat itu, terdapat 12 mangsa yang terbabit berada di atas bot berkenaan pada ketika itu.
"APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 6.50 pagi hari ini dengan menghantar Kapal Maritim Berani," katanya di Kota Kitabalu, hari ini.
Zubil berkata, operasi SAR itu turut dibantu aset Pasukan Polis Marin (PPM).
"SAR sedang dijalankan dengan keadaan cuaca yang cerah," katanya.
Tambah Zubil, bot Ocean Camara dilaporkan bergerak keluar dari Jeti Kampung Serusup, Tuaran pada 12.30 tengah hari, 18 Ogos lalu.
"Punca sebenar kejadian dalam siasatan," katanya.
Sumber: MyMetro