Cheng Guan Persoal Guan Eng: Jika Benar Tidak Bersalah Kenapa Kerap Mohon Tangguh Bicara?


SEMUA  orang ingat semasa isu kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang  belum disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Guan Eng meminta beliau segera disiasat.  

Namun kini sebaliknya, selepas dihadapkan ke makhamah dan ditetapkan tarikh bicara,  Guan Eng kerap membuat memohon penangguhan kesnya.

 "Berani kerana benar, takut kerana salah'..... itu pepatah Melayu yang sering diungkapkan apabila berdepan sesuatu tuduhan liar atau dakwaan. 

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan bertanya Guan Eng : "Jika tidak bersalah, mengapa secara konsisten cuba menangguhkan kesnya yang kini sudah masuk tempoh hampir satu tahun?

“Seperti kata pepatah Melayu `berani kerana benar...’ lawanlah kes rasuah anda di mahkamah,” kata Cheng Guan dalam kenyataan dipetik daripada sebuah akhbar tempatan kelmarin. 

Menurut beliau,  Guan Eng sepatutnya menggesa mahkamah supaya mempercepatkan kes dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan dirinya itu supaya namanya dapat dibersihkan, sekali gus membuktikan pertuduhan itu hanya 'taktik' kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyerang DAP.

Mahkamah Rayuan Isnin lalu memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memerlukan orang kena tuduh mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon bagi mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen itu bercanggah dengan perlembagaan dalam kes rasuah mereka.

Panel itu memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta itu ultra vires dengan Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Disember tahun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Li Khoon didakwa di Pulau Pinang atas tuduhan rasuah.

Beliau menghadapi tuduhan  menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan diri dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014. Selain itu, Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.

Sebelum disiasat dahulu, SPRM  pernah  'menjemput' Guan Eng datang ke pejabat SPRM selepas Setiausaha Agung DAP itu seolah-olah  'mencabar' suruhanjaya berkenaan agar dia disiasat dengan segera. - Kedahnews.com.