JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan penyeludupan 23 gading gajah anggaran nilai RM275,000 dan sisik tenggiling bernilai kira-kira RM3.86 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Mohd Pudzi Man berkata, kes pertama membabitkan gading gajah yang cuba dibawa masuk 1.30 tengah hari di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Menurutnya, pihaknya bertindak merampas dua kotak yang mengandungi sejumlah gading gajah.
"Kedua-dua kotak diikrar sebagai barangan makanan namun pemeriksaan rapi mendapati ia mengandungi 23 gading gajah berat 75.74 kilogram (kg) dan dianggarkan RM275,000.
"Kotak berkenaan dibawa melalui penerbangan Etihad Airways dari Lagos, Nigeria ke Abu Dhabi seterusnya KLIA," katanya pada media sidang di Kompleks Kastam KLIA, Sepang, hari ini.
Bagi kes sisik tenggiling, beliau berkata, ia dibawa masuk ke negara ini pada 8.30 malam hari sama serta digagalkan menerusi pemeriksaan dijalankan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
"Pemeriksaan menemui enam bungkusan guni yang tiba melalui penerbangan Ethiopian Airlines dari Congo ke KLIA.
"Hasil pemeriksaan menemui 300.90 kg sisik tenggiling dianggarkan bernilai RM3.86 juta," katanya.
Katanya, siasatan awal juga menunjukkan, sisik tenggiling dirampas itu dicatatkan sebagai 'fish maw' pada surat muatan udara manakala, alamat penerima digunakan palsu.
Kedua-dua rampasan berkenan bernilai kira-kira RM4.14 juta.
Sumber: MyMetro