DAP Bergantung Pada Undi Melayu Untuk Mengambil Alih Kuasa - Ismail Sabri


ALOR SETAR -  DAP perlu menggunakan parti-parti serpihan UMNO dan PAS untuk berkuasa di negera ini kerana parti itu tidak mampu bersendirian tanpa sokongan pengundi  Melayu.

Tindakan memperalatkan orang Melayu termasuk bekas pemimpin kerajaanoleh DAP adalah semata-mata kerana mereka menyedari bahawa parti itu tidak berupaya  merampas kuasa berdasarkan kepada kekuatannya sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bersandarkan kepada sejarah, DAP sedar  betapa parti itu sama sekali tidak mendapat sokongan orang Melayu berikutan dasar serta perjuangan dibawa mereka.

“DAP sedar akan hakikat ini. UMNO sebagai parti yang mempunyai roh perjuangan mem­bela agama, bangsa, negara, raja-raja serta bahasa Melayu sama sekali tidak akan dapat diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk tujuan-tujuan lain.

“Tetapi PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbeza kerana mereka ditubuhkan atas kepentingan peribadi untuk mengembalikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menjadikan individu tertentu sebagai Perdana Menteri dan bukan atas dasar mengangkat martabat Melayu.

 Sebab itu mereka boleh diperalat serta menjual segala prinsip untuk bekerjasama dengan DAP,” katanya. ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini semalam

 Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin, Ir. Zainal Alam Bakar, naib ketua, Datuk Mutalib Harun, pemimpin sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ismail Sabri menambah, penyertaan orang Melayu termasuk PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyebabkan DAP berasa yakin untuk berkuasa di negara ini sehingga memper­kenalkan slogan ‘ini kalilah’ yang membawa maksud itulah masanya untuk mereka memerintah negara.

“DAP tahu me­reka mempunyai kerusi terbanyak dalam kalangan pembangkang dan kedudukan itu melayakkan mereka menjadi Perdana Menteri kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak di­sebut bahawa Perdana Menteri perlu dilantik dalam kalangan orang Melayu Islam.

“Kalau tidak menjadi Perdana Menteri sekali pun, mereka akan melepaskan jawatan itu kepada individu yang boleh ‘dikawal’. Cakap-cakap kononnya pemimpin parti ‘bunga’ nak jadi Perdana Menteri, itu hanya gula-gula politik saja,” katanya.

Sementara itu beliau mengingatkan ahli dan penyokong BN agar menaruh kepercayaan dan menghormati siapa juga yang dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon pada PRU 14 dan tidak mensabotaj parti sendiri.

" Kemenangan UMNO dan BN lebih penting dari calon, " katanya lagi - Kedahnews.com