PUTRAJAYA - Parti pembangkang yang diketuai DAP akan mengetepikan kepentingan rakyat luar bandar jika mereka memenangi pilihan umum ke-14 (PRU-14)
Justeru kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, rakyat tidak harus termakan dengan hasutan pihak pembangkang yang tidak boleh menerima prestasi baik Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat.
“Janganlah kita termakan dengan hasutan puak satu lagi tu. Yang akan menjadi kuasa dominan adalah DAP yang akan punya kuasa mutlak," kata Najib di hadapan lebih 10,000 warga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini semalam.
Beliau mengingatkan hal itu pada perasmian Himpunan JKKK/JKKKP dan JKKKP Orang Asli serta menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 di Dewan Tun Razak, Pusat Perdagangan Dunia Putra..
Menurut beliau lagi, DAP tidak ada keutamaan untuk masyarakat luar bandar. Sebab itulah kita istiqomah berdasarkan kepada prinsip kesinambungan dan kestabilan politik dalam negara kita,” ujarnya.
Tambah Najib, BN yang meneraju kepimpinan negara tidak sesekali akan mengingkari mandat yang telah diberikan rakyat khususnya masyarakat luar bandar terhadap parti itu.
“Kalau kita boleh didik rakyat untuk berfikir secara rasional, rakyat akan faham bahawa kerajaan buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan kampung.
“Saya tidak akan tinggalkan pembangunan luar bandar dimana mesti diteruskan tapi mungkin pendekatan yang berbeza,” katanya.
Najib berkata, pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua kampung perlu memainkan peranan dalam merasai denyut nadi, kehendak dan aspirasi rakyat.
"Saya pasti, rakyat akan sedar bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang terbaik terutama untuk masyarakat luar bandar. Dari segi komitmen peribadi, saya tidak akan meninggalkan pembangunan luar bandar, ' kata Perdana Menteri. - Kedahnews.com