Dasar Kerajaan Bukan Punca Kilang Industri Ditutup - Ku Rahman


ALOR SETAR- Penutupan kilang di kawasan TamanTeknologi Kulim (KHTP) dan tempat lain di negeri ini tidak ada kaitan dengan dasar-dasar kerajaan tetapi keputusan komersial oleh syarikat pihak yang membuat pelaburan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Negeri, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata keputusan itu juga bukan disebabkan faktor gaji minimum yang diterima oleh pekerja.

"Dasar kerajaan kita adalah mesra pelabur dan sentiasa menjaga pelabur yang ada untuk menarik pelaburan baharu selain usaha yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Luar Negeri dan MIDA," kata Ku Abdul Rahman.

Menjawab pertanyaan Dr. R. Krishnamoorthy (PKR-Bukit Selambau), Ku Abdul Rahman memberitahu, sepanjang tahun lepas negeri ini menerima pelaburan berjumlah RM2.13 bilion.


Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmi Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah memberitahu dewan, sebanyak RM202 juta diperuntukkan oleh Kementerian  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  di negeri ini pada 2017.

Daripada peruntukan 'rolling plan' RM202 juta  itu, 20 peratus telah dibelanjakan sementara 82 peratus  daripada RM168 juta peruntukan pada 2016 telah digunakan untuk projek pembangunan rakyat di luar bandar, kata Tajuddin menjawab pertanyaan Ali Yahaya (BN- Pantai Merdeka).-Kedahnews.com