KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mengkaji kemungkinan untuk mewajibkan pemilik premis di ibu kota mengibarkan Jalur Gemiliang di premis masing-masing sebagai syarat baharu untuk permohonan lesen.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu sebagai inisiatif untuk menyemarakkan semangat patriotik cintakan tanah air dalam jiwa warga Kuala Lumpur.
Walaupun tinggal 18 hari lagi Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60, beliau berkata, masih lagi ramai pemilik premis mahupun kawasan perumahan di ibu negara tidak mengibarkan bendera Jalur Gemiliang lagi.
"Kalau di luar negara seperti US (Amerika Syarikat) dan di Indonesia, mereka sendiri ada semangat patriotik memasang bendera di premis masing-masing tanpa disuruh.
"Berbanding dengan warga kota di sini, saya tidak faham kenapa mereka liat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sedangkan ia melambangkan negara kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Jalur Gemilang Peringkat DBKL, di sini hari ini. - Bernama