NILAI - Minat dan cinta mendalam terhadap sukan berbasikal membuatkan Grace Phang sanggup mengorbankan pendapatan yang diraih demi mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Grace, 32, memutuskan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan daripada sebuah bank di Melbourne, Australia, bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu, yang juga penampilan keduanya.
Pertama kali Grace mewakili negara adalah pada edisi 2013 di Myanmar dalam acara individu ujian masa wanita (ITT) dan menamatkan saingan di tempat kelima.
"Saya bernasib baik kerana majikan menyokong 'keseimbangan kehidupan bekerja' dan memberi kebenaran kepada saya untuk mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk mewakili negara.
"Pengorbanan yang perlu saya buat bukan saja dari segi wang ringgit tetapi juga masa dan pelaburan yang saya dihabiskan untuk peralatan, perlumbaan dan alat sokongan.
"Tetapi semua itu mengatasi segala-galanya demi minat dan cinta yang mendalam pada sukan ini dan demi negara," kata anak sulung daripada tiga beradik itu ketika ditemui Bernama di Velodrom Nasional di sini.
Atlet yang berasal daripada Kuala Lumpur itu berkata walaupun beliau mula berkecimpung dalam sukan berbasikal pada usia 26 tahun, namun tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk terus bersaing dengan pelumba muda.
Malah, beliau berkata staminanya semakin meningkat dan ini adalah perkembangan positif untuk beliau yang menyertai acara trek omnium bersama-sama seorang lagi pelumba trek endurance negara Ju Pha Som Net.
"Kalau kita lihat, beberapa atlet berbasikal wanita dunia, kebanyakan daripada mereka cemerlang pada usia 30 tahun ke atas.
"Setiap kali saya rasa letih untuk mengayuh, saya akan melihat kepada anggota kelab yang lain berusia lewat 30-an, yang bangun awal pagi hanya untuk pergi mengayuh basikal.
"Semua itu dorongan kepada saya untuk melakukan lebih baik lagi dalam sukan berbasikal kerana saya begitu berminat berlumba," kata Grace yang menyertai Kelab Berbasikal St Kilda di Melbourne.
Selepas muncul juara berganda acara ujian masa individu dalam siri Grand Prix Berbasikal Kebangsaan pada 2013, Grace yang tinggal di Melbourne dipanggil menyertai latihan skuad berbasikal negara yang kini dibimbing Mohd Firdaus Daud.
Sementara itu, mengenai peluang dalam acara omnium Sukan SEA kali ini, graduan ijazah perakaunan dan kewangan Universiti Melbourne itu berkata beliau akan terus fokus mempersiapkan diri walaupun sedar sasaran pingat emas disandarkan pada Ju Pha.
"Secara peribadi saya mensasarkan pingat emas, tapi hanya satu emas dalam acara ini. Saya akan buat yang terbaik untuk sekurang-kurang mendapatkan pingat buat skuad negara.
"Apa yang penting, jangan terlalu bergantung kepada pencapaian terdahulu pelumba negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura kerana masing-masing sedang melakukan persediaan dari semasa ke semasa untuk Sukan SEA ini," katanya.
Acara trek omnium terdiri daripada perlumbaan scratch, tempo race, pusingan kelayakan pecut dan perlumbaan mata akan bermula pada 27 Ogos.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mensasarkan skuad berbasikal negara mampu meraih 13 daripada 20 pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini.
Untuk rekod, pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia menyapu bersih dua pingat emas menerusi Mohd Hariff Salleh dalam acara kriterium lelaki dan perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki.
Skuad berbasikal kebangsaan turut menyumbang tiga pingat gangsa melalui Nurul Suhada Zainal (perlumbaan lebuh raya lepas beramai-ramai wanita), Ju Pha Som Net (kriterium) dan Anuar Manan (perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki). - BERNAMA