Dennis Muhammad Dekati Islam Sejak 2014


JOHOR BAHRU - Dennis Muhammad Abdullah, bakal suami Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, mula mendekati agama Islam sejak tahun 2014.

Pemuda kelahiran Belanda berusia 28 tahun itu berkata ketika  pulang  ke  Amsterdam, beliau banyak mendapatkan  pandangan  serta  nasihat rakan-rakan Muslim di  sana  mengenai  Islam termasuk meminta mereka membawanya ke masjid.

"Ini kerana saya mahu melihat serta mendengar sendiri bagaimana cara mereka bersembahyang di  masjid  selain  mendapatkan  nasihat daripada mereka mengenai ajaran  Islam yang  turut dipelajari dalam bahasa Belanda," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) pada Jumaat.

RPO merupakan pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.

Dennis Muhammad yang memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru itu, banyak membaca pelbagai bahan rujukan  mengenai  Islam dalam  internet selain sering pergi ke  masjid untuk bersembahyang.

Menurut beliau, setelah mendapat restu Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk berkahwin dengan Tunku Tun Aminah,  beliau kemudiannya dititah oleh Tuanku untuk  mempelajari  agama Islam secara mendalam.

“Saya mula mengikuti kelas fardu ain dan cuba menghafal surah-surah yang pendek dalam al-Quran sejak awal  tahun ini. 

Sebelum ini, saya sudah pun menjalani ibadah puasa secara penuh setiap bulan Ramadan sejak 2015 dan sering ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.

"Bukan itu sahaja, saya juga tertarik untuk mengenali dan mempelajari bahasa Jawi. Pada masa yang sama, saya mendapat banyak nasihat daripada golongan yang pakar dalam agama Islam supaya tidak tergesa-tergesa, tetapi sebaliknya mendalami ilmu agama secara perlahan," kata Dennis Muhammad.

Beliau mengikuti nasihat itu supaya dirinya benar-benar menjadi seorang Muslim yang baik dan tahu segala perkara termasuk bersembahyang.

"Hati saya terbuka untuk menerima Islam kerana saya dapat rasai lebih banyak ketenangan dalam  diri saya. Saya  bersyukur kepada Allah  SWT  kerana  dapat mengikuti  segala pembelajaran dengan sempurna tanpa apa-apa halangan atau rintangan.

"Malah, ibu bapa saya juga banyak memberi sokongan serta tiada halangan daripada mereka untuk saya memeluk Islam,” katanya.

Selain itu, beliau bersyukur kerana mendapat perkenan Sultan Johor dan Permaisuri Johor. - Bernama