Dewan Rakyat Luluskan Pindaan Akta 164


KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat, tengah malam tadi.

RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, diluluskan pada jam 12.45 tengah malam selepas dibacakan kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam, bermula jam 8.30 malam.

Dengan lulusnya pindaan RUU itu, hak diberikan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164.

Azalina ketika menggulung perbahasan itu berkata, ketika ini, undang-undang tidak memberi hak kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil mengikut Akta 164 memandangkan hak itu hanya diberikan kepada suami atau isteri bukan Islam.

Katanya, menerusi pindaan itu, isu berbangkit berhubung pemelukan agama oleh salah seorang pasangan bukan Islam yang berkahwin di bawah undang-undang sivil dapat diselesaikan, seterusnya menjaga kepentingan dan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.

"Dalam kebanyakan, mereka berkahwin dalam keadaan bukan Islam mengikut undang-undang sivil kemudian memeluk Islam. Dalam kebanyak kes, mereka yang tidak bertanggungjawab dalam aspek agihan harta sepencarian, penjagaan anak dan sebagainya menjadi masalah.

"Pindaan ini mewujudkan pilihan kepada yang memeluk Islam atau yang masih beragama asal untuk menyelesaikan perceraian di mahkamah sivil.

"Kita tak mahu situasi ada pihak tidak bertanggungjawab larikan diri daripada mencerai atau membubarkan perkahwinannya dengan bekas pasangan, sehingga seolah-olah ada dua keluarga (apabila berkahwin lain). Pindaan ini supaya yang memeluk Islam boleh ke mahkamah sivil," katanya.

Azalina berkata, penentuan hak jagaan anak dan pembahagian harta sepencarian bersama bekas pasangannya dan harta lain yang dipunyai atau diperoleh oleh mualaf itu sebelum dia memeluk agama Islam boleh diselesaikan menerusi RUU ini.

"Pindaan ini juga adalah manifestasi komitmen berterusan Kerajaan selaku pemerintah yang bukan saja bertanggungjawab untuk terus memartabatkan kedaulatan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi juga pada masa yang sama, memelihara prinsip dalam kerangka kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat negara ini, " katanya.

Terdahulu, sesi perbahasan RUU hangat dengan kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan pengguguran Fasal 88A dalam pindaan akta itu, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menyelesaikan masalah yang timbul ketika ini berhubung pertukaran agama anak oleh salah satu ibu atau bapa yang menukar agama.

Menjawab isu pengguguran Fasal 88A, Azalina berkata, kerajaan terikat dengan saranan Pejabat Peguam Negara yang berpandangan peruntukan itu tidak mengikut Perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak untuk Fasal 88A itu dibawa semula pada masa depan selepas dua keadaan, iaitu jika Perlembagaan dipinda serta ada keputusan mahkamah yang mengubah situasi sedia ada.

Ketika mahu meluluskan RUU itu di peringkat dasar, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) memohon untuk diadakan undi belah bahagi, namun tidak dibenarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kerana tidak cukup 15 Ahli Parlimen yang berdiri menyokong.

Sumber: BH Online