KUALA LUMPUR - Polis mencari seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar kolej swasta yang cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah pusat siber di Setiawangsa, dekat sini, 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, individu itu dikenali Mohd Firdaues Mohd Noor berusia 31 tahun.
"Lelaki ini dicari bagi membantu siasatan dan alamat terakhirnya adalah di North Point 2/1, Jalan Ampang Utara, Ampang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, semalam.
Beliau berkata, seramai lima lelaki telah ditahan pada 4 Ogos dan 7 Ogos lalu berhubung kes ini selain merampas sebilah pedang yang dipercayai digunakan semasa kejadian serta sebuah kereta Suzuki Swift.
Katanya, siasatan dapati motif kejadian adalah kerana berlaku perselisihan faham membabitkan teman wanita mangsa dan suspek.
Terdahulu, mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan di kepala, retak jari telunjuk kiri dan lebam di badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, tiga lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, Kajang, jam 11.30 malam kelmarin selepas didapati mencederakan seorang mangsa direman sehingga esok.
Mohamad Roy berkata, mangsa seorang lelaki berusia 23 tahun ditikam di PV20, Setapak, sebelum dibawa ke Kajang untuk menyelesaikan masalah yang dipercayai berpunca akibat berebut teman wanita sebelum suspek dan mangsa membuat pertemuan di PV20.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai ditemui dalam kereta yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, Kajang. Dalam sekatan jalan raya jam 11.20 malam, pasukan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan sebuah Honda Accord kelabu yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Polis membuat pemeriksaan menyeluruh dan menemui seorang penumpang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai.
Sumber: Sinar Harian
