Didenda Angkut Rokok Larangan


PEMBANTU kedai makan dikenakan denda RM80,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana membawa 1,000 karton rokok larangan yang ditaksirkan bernilai RM7,000 menggunakan van.

Tertuduh,Mohd Rafiq Abd Rashid,31, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Rafiq Abd Rashid,31, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengangkut barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 dengan niat untuk mengelak larangan terhadap barang-barang berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Muhamad, Kuala Terengganu, 12.30 tengah malam 4 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu,Md Safrizal Mohd Safian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Sinar Harian