Ditahan Menyamar, Hina Tunku Jalil


JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun hari ini kerana menyamar sebagai Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Almarhum menerusi Facebook.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, lelaki itu ditahan pukul 12.45 tengah hari di Larkin di sini.

“Pada 21 Ogos lalu, pukul 9.55 pagi, Polis Johor telah menerima satu laporan polis berkaitan dengan penyalahgunaan laman sosial.

“Laporan polis tersebut adalah berkenaan dengan akaun Facebook yang menyamar sebagai YAM Almarhum Tunku Laksama Johor dan turut mengeluarkan kenyataan yang jelik terhadap YAM Tunku Laksamana Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohd. Khalil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran dan sekiranya disabitkan bersalah, boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali

Sumber: Utusan Online