Dr. Mahathir Dakwa PAS Gagal Bangunkan Kelantan


TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PAS Kelantan gagal mentadbir dan membangunkan negeri itu sehingga rakyat terpaksa berhijrah untuk mencari pekerjaan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menyuarakan rasa sedih melihat pembangunan Kelantan yang dilabel sebagai negeri paling miskin.

"Sumber alam dan tenaga manusia memang mencukupi di Kelantan, namun disebabkan pemerintah tidak tahu bangaimana mahu membangunkan negeri itu menyebabkan ia berada di takuk lama.

"Rakyat terpaksa berhijrah untuk mencari pekerjaan kerana kegagalan pemimpin. Jika kita cekap mentadbir, maka rakyat tidak perlu berhijrah ke negeri lain.

"Jadi, terserahlah kepada rakyat Kelantan sama ada masih mahu mengekalkan pemerintahan sedia ada atau memilih pentadbiran baharu yang diterajui parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran pakatan pembangkang negeri Kelantan di Bachang semalam.

Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Dr Mahathir berkata, sebelum ini, orang Melayu tidak suka tinggal di luar negara, namun kini sebaliknya berlaku apabila rakyat berhijrah ke Australia untuk bekerja sebagai buruh.

Sumber : BH