AFIFAH NASIR, setangkai nama yang telah meletuskan bom kebencian hampir seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita. Menyebut namanya sahaja, persepsi perempuan miang dan segala gelaran tidak senonoh menerjah ke minda ramai.
Semuanya gara-gara ditangkap sedang berkaraoke bersama suami orang, si penyanyi dan pelakon popular, Aliff Aziz di sebuah pusat hiburan di Cheras, hampir dua minggu lalu. Sepantas itu, dia dihakimi sebagai jahat akibat terjebak insiden yang dianggap sangat kotor dan memalukan.
Mencari ruang bagi sebuah penjelasan, seminggu selepas Aliff dan isterinya Bella membuat sidang media secara terbuka, kelmarin giliran Afifah buat pertama kali tampil memberi kenyataan kepada pihak media berhubung isu berkenaan.
Jika banyak orang mungkin melihat tindakannya sebagai menegakkan benang yang basah atau sia-sia sedangkan pekung di dada sudah diketahui umum, Afifah tetap mahu memulangkan dakwaan yang terpaksa ditelan selepas ‘kantoi’ berdua-duaan dengan Aliff, hampir dua minggu lalu.
Adik kepada pelakon popular Anzalna Nasir itu bertegas, menolak dakwaan mempunyai niat untuk menggoda dan merosakkan rumah tangga Bella dan Aliff Aziz. Dia bahkan menjelaskan, tidak mempunyai sekelumit cinta terhadap pelakon kelahiran Singapura itu biarpun dalam video yang tersebar ada menunjukkan mereka berpegangan tangan.
“Saya mahu meminta maaf daripada Bella kerana membenarkan tangan saya dipegang oleh Aliff, saya akui itu salah dan saya akui perkara itu. Saya juga tidak menyalahkan Bella atas segala yang berlaku kerana sebagai perempuan, kalau berada di tempatnya, saya faham perasaan Bella,” ujar Afifah semasa ditemui di sebuah pejabat guaman di Publika, Kuala Lumpur.
Tidak mengharapkan ‘penyucian’ atau penerimaan orang terhadap dirinya selepas dijatuhkan hukuman sebagai ‘pendosa’ berserta selaut kejian dan cacian sebagai habuan, Afifah sekadar mahu masyarakat mengetahui, lebih tepat lagi memahami situasi sebenarnya yang terpaksa dilaluinya.
Jelas Afifah, punca sebenar dia melayan karenah Aliff termasuk untuk ke karaoke adalah kerana berkompromi dengan permintaan pihak produksi drama lakonan mereka berdua, Izinkan Aku Mencintaimu yang mahu Alif dilayan secara ‘mesra’.
Rakaman perbualan
Tidak sahaja bercakap kosong, Afifah mengukuhkan penjelasannya apabila terlebih dulu memperdengarkan rakaman perbualan telefon kakaknya, Anzalna bersama salah seorang kru produksi mengenai situasi sebenar, rentak hubungannya dengan Aliff sehingga berlakunya insiden di pusat karaoke, pada Khamis, 27 Julai lalu.
Dalam rakaman yang dirahsiakan identiti kru tersebut, Anzalna merungkai semua idea pihak produksi yang mempergunakan adiknya hanya kerana mahu memastikan kehadiran Aliff ke lokasi penggambaran. Antaranya, produksi sememangnya meminta Afifah agar melayani Aliff dengan ‘mesra’ sama ada di lokasi mahupun balasan mesej menerusi WhatApps.
Selain mendapatkan kepastian tentang sikap sebenar Afifah ketika berada di lokasi penggambaran, daripada perbualan tersebut, kru produksi itu mengakui pihaknya ada menyarankan Afifah dan Aliff serta bersama beberapa kru lain untuk bermalam di rumah inap bagi memastikan pelakon itu tiba di lokasi penggambaran tepat pada waktunya.
“Sepatutnya drama bersiri 13 episod ini boleh dihabiskan dalam waktu sebulan sahaja, tetapi masalah yang ditimbulkan Aliff seperti tidak hadir ke set dan sering lambat menyebabkan semuanya terganggu.
“Aliff juga pernah tidak hadir selama lapan hari. Jadi pihak produksi meminta saya memujuknya ke lokasi agar penggambaran drama itu dapat dihabiskan dengan cepat. Sebenarnya saya dan Aliff pernah bergaduh di set penggambaran kerana sikapnya itu,” katanya.
Mengakui dirinya bodoh, Afifah baru tersedar sepatutnya dari awal tidak menuruti permintaan produksi kerana pada akhirnya dia yang terjerat dan menjadi mangsa keadaan.
“Saya terkilan dan berasa dianiaya kerana mengikut arahan produksi yang mahukan saya melayan kerenah Aliff serta menjaga perasaannya hanya kerana mahu penggambaran berjalan lancar.
“Saya menangis bukan kerana kecaman yang diberikan pihak luar terhadap apa yang berlaku, tetapi lebih kepada berasa bodoh kerana menuruti permintaan produksi dalam hal ini. Sepatutnya saya tidak masuk campur urusan produksi,” jelasnya.
Ditanya sama ada Bella sendiri tahu perihal permintaan produksi, kata Afifah dia ada menerangkan keadaan sebenar kepada kakak penyanyi Didi Astillah itu mengapa terpaksa berbaik dengan Aliff. Dia malah tidak menyalahkan Bella yang bertindak menyerang Aliff ketika bersama di pusat karaoke baru-baru ini.
Kekasih sokong Afifah
Sebagai tanda cinta dan sokongan padu buat Afifah, kehadiran kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar, 24, semasa sidang media tersebut menjelaskan betapa hubungan mereka tidak terjejas ekoran kontroversi yang berlaku.
“Memang sejak dari mula penggambaran lagi saya sudah dimaklumkan oleh Afifah tentang apa sahaja perkembangan termasuk berkaitan Aliff dan produksi.
“Afifah sudah menjelaskan segala-galanya dan saya tahu dia adalah mangsa keadaan. Sebab itu saya berani mengeluarkan kenyataan bahawa saya memberi sokongan kepadanya. Kehadiran saya kali ini juga sebagai tanda sokongan terhadap dia.
“Tentang isu pegang tangan, Afifah sudah minta maaf daripada saya kerana membenarkan Aliff pegang tangannya dan saya faham dan sudah maafkan dia,” ujar Ariff tanpa mahu mengendahkan tohmahan dayus yang dilemparkan netizen terhadap dirinya.
Jejaka yang sudah empat tahun mengenali Afifah itu juga memohon agar memahami situasi yang terpaksa dilalui kekasihnya.
“Saya tidak boleh minta semua orang memaafkan dia, tetapi saya cuma berharap situasinya difahami. Semoga Afifah akan lebih berhati-hati selepas ini,” tambah Wan Ariff.
Kembali ke lokasi drama
Buat Afifah yang baru hendak mengenal sepak terajang dunia hiburan, episod hitam yang dilaluinya bukan penamat riwayatnya sebagai pelakon. Tidak mahu terus-terusan terperuk di rumah, menangis dan menyesal sehingga keluar air mata darah, dia mahu bangkit dan berazam untuk mengambil jalan profesional. Paling utama, dia mahu menyudahkan baki penggambaran yang tertangguh.
“Sebab itu saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Saya tidak mahu bergaduh sebab esok atau lusa saya kena hadap lagi muka dia (Aliff) dan pihak produksi. Tetapi, sekiranya perkara ini (memburuk-burukkan saya) berterusan, saya tidak akan teragak-agak mengeluarkan bukti.
“Saya tidak takut. Saya berani kerana yakin berada pada pihak yang benar. Saya juga tiada masalah jika sekali lagi ditawarkan bergandingan dengan Aliff dalam mana-mana produksi drama,” jelas Afifah yakin.
Penjelasan yang diharapkan setidak-tidak membuka secarik pengertian mungkin hanya 0.1 peratus daripada jutaan pembenci dan juri awam tersebut bagaimanapun mengundang respons balas yang lebih menikam daripada Aliff.
Pada hari yang sama, Aliff menyusul menempelak kenyataan ‘makan diri’ oleh Afifah dengan menyifatkannya sebagai mengarut.
“Jika betul katanya, saya mahu bertanya, berapa usia Afifah sehingga tidak boleh tentukan apa yang betul atau salah. Dia bukan belasan tahun hingga perlu mengikut telunjuk orang dengan alasan mahu membantu produksi melunaskan penggambaran,” ujar Aliff.
Semalam, antara suka atau tidak, benci tetapi harus bersemuka biarpun mungkin penuh sumpah-seranah secara dalaman, mereka akhirnya duduk dalam satu gelanggang bagi memulakan semula ‘asmara dalam drama’.
Masih berbaki beberapa hari, drama terbitan Mahligai Serimas Sdn. Bhd tersebut dimaklumkan kembali menyambung penggambaran di sekitar Hulu Langat, Selangor, namun tinjauan Kosmo! di Kampung Sungai Tekali berakhir dengan sia-sia apabila informasi yang diterima tidak tepat.
Dalam satu kenyataan kepada media, pihak produksi terbabit dikatakan akan mengadakan sebuah sidang akhbar mungkin bagi menjelaskan dakwaan dan polemik hero dan heroin drama mereka.
Sampai ke hari ini, ‘drama dalam drama’ antara Afifah, Aliff, Bella dan produksi berkenaan belum selesai. Penamatnya pasti tiba, tetapi entah sampai bila. Selagi masih wujud adegan tuding-menuding, selagi itulah khalayak akan menjadi juri menghakimi setiap seorang daripada mereka mengikut pertimbangan sendiri.
Sumber: Kosmo