KANGAR - Dua orang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis yang disyaki terlibat dengan rasuah ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Gasiah mengeluarkan perintah tahanan reman itu yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Anis Sofiah Che Hakim semasa kedua-dua pegawai tersebut dihadapkan di hadapan beliau.
Pegawai tersebut masing-masing berumur 49 dan 45 tahun diberkas anggota SPRM Perlis yang menerima maklumat orang ramai di sebuah premis perniagaan di pekan Pauh, Arau, dekat sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Kedua-dua pegawai itu yang bertugas di Ibu Pejabat Bomba Perlis di sini didakwa meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,200 daripada seorang lelaki supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya berkaitan kesalahan bangunan. - Bernama