Dua Pengedar Dadah Warga Indonesia Ditahan


MIRI - Dua rakyat warganegara Indonesia ditahan di sebuah premis di Jalan Abang Galau, Bintulu pada 3 petang semalam kerana mengedar dadah.

Ketua Polis Bintulu Superitendan Zailanni Amit berkata polis turut merampas dua plastik besar dadah jenis syabu, enam plastik kecil syabu dan 13 tiub straw berisi ketulan syabu dengan anggaran berat keseluruhan 53.12 gram.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 21 dan 23 tahun itu berada di Bintulu selama setahun dan mengaku terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar pasar lama Bintulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek membeli dadah secara dalam talian, dikirim menggunakan bas dan kemudian menjualnya kepada pembeli di pasar lama dengan meletakkan dadah di satu tempat dan bayaran dilakukan di lokasi berbeza untuk mengelak ditangkap.

Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori. - Bernama