Dua Sepupu ‘Hilang’ 25 Jam Kerana Takut Nak Balik Rumah


PASIR PUTEH - Dua sepupu yang ‘hilang’ di Kampung Lembah, Gaal, dekat sini, sejak 11 malam, Sabtu lalu ditemui selamat tengah malam kelmarin selepas lebih 100 remaja menjalankan gerakan mencari mereka di sekitar kampung tersebut.

Muhammad Faiz Zuki, 12, dan sepupunya, Muhammad Adam Che Muda, 12, dipercayai tidak pulang ke rumah selepas menghadiri majlis tahlil di rumah penduduk, sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapanya.

Bapanya Muhammad Faiz, Zuki Abdul Wahab, 58, berkata, dia berterima kasih kepada kumpulan remaja terbabit dan bersyukur kedua-duanya ditemui selamat.

Katanya, dia bimbang perkara buruk menimpa Muhammad Faiz kerana anak kesembilan daripada 10 beradik itu tidak pernah berkelakuan nakal seperti itu sebelum ini.

"Lepas jumpa kedua-duanya, mereka mengaku takut nak balik ke rumah masing-masing kerana merayau sampai lewat malam. Bila lihat lampu suluh penduduk, mereka bertindak menyembunyikan diri.

"Pada malam pertama, keduanya tidur di satu wakaf yang tak disedari sesiapa pun. Bila siang mereka berada di sekitar bendang tapi tetap tak berjumpa dengan orang ramai yang mencari mereka," katanya.

Tambahnya, dia dan isterinya, Ramlah Said, 51, lega apabila menerima berita mengenai penemuan kedua-duanya tengah malam kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukarelawan Rakyat Kelantan, Yuganu Yunus berkata, beliau memuji anak muda kampung itu yang terlibat dengan gerakan mencari kedua-dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Garu itu.

Katanya, tidak ada unsur ‘ghaib’ berhubung kes kehilangan mereka sepertimana tanggapan sesetengah masyarakat kerana ketika ditemui, Muhammad Faiz dan Muhammad Adam dalam keadaan normal.

"Mereka mungkin takut dimarahi keluarga kerana lewat balik ke rumah dan mula bersembunyi apabila menyedari ramai orang mencarinya," katanya yang terlibat sama dalam gerakan mencari sejak kelmarin.

Menurutnya, mencari orang hilang mesti berpandukan beberapa petanda, termasuk mengkaji psikologi mangsa sebelum memulakan gerakan.

Sumber: Sinar Harian