Enam Pendaki Wanita Negara Galas Cabaran Takluk Elbrus


KUALA LUMPUR - Sekumpulan enam pendaki wanita negara akan menggalas cabaran menakluk puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, Russia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017, 31 Ogos ini.

Gunung setinggi 5,642 meter itu adalah salah satu daripada tujuh gunung tertinggi di tujuh benua.

Misi kempen Kembara Srikandi Prihatin (KSP) itu disertai Fazilah Abd Manan, Renee Aziz Ahmad, wartawan Harian Metro Fairul Asmaini Mohd Pilus, Nurul Huda Shamsuddin, Nir Azmin Adnan dan Ummu Farah Haidar Zulkifli selaku Pengarah Program.

Program anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN) bermula 23 Ogos hingga 5 September itu turut mendapat sokongan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia serta Harian Metro sebagai akhbar rasmi.

Ia juga adalah salah satu program di bawah projek Negaraku, Pejabat Perdana Menteri.

Majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Pengarah Kempen KSP Ummu Farah di Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Presiden PKN Tan Sri Khalid Yunus.

Sumber: BH Online