SEJAK membuka mulut mengenai kisah cintanya dengan Erra Fazira pada Mei lalu, juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir mengakui sering menerima usikan mengenai hubungannya dengan aktres terkenal itu.
Sentiasa tenang menjawab semua soalan berhubung perkara tersebut, Shahir bagaimanapun berkata dia menerima dengan hati terbuka usikan diberikan dan tidak menganggap ia serius.
"Sebelum ini saya tiada dalam industri selama tiga tahun, orang tetap kaitkan juga.
"Jadi telan sahajalah dengan usikan kerana menjadi seorang artis itulah harga yang perlu saya bayar," katanya.
Shahir ditemui pada sidang media program AF Megastar yang diadakan pada Selasa.
Penyanyi itu akan berentap dengan 24 bekas peserta program popular itu yang bakal bersiaran bermula 3 September depan di Astro Ria.
Ditanya mengenai perkembangan lanjut hubungannya dengan Erra, Shahir bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut mengenainya.
Kata penyanyi berusia 29 tahun ini, dia ingin memberi fokus kepada pertandingan AF Megastar kerana melihat ia platform terbaik untuk kembali melonjakkan namanya sebagai penyanyi.
"Saya sudah lama tidak aktif menyanyi dan peluang dapat beraksi di pentas AF Megastar perlu saya beri perhatian kerana ia sebuah pertandingan yang besar.
"Buat masa ini fokus saya untuk bertanding dan perkara lain biarlah dahulu," katanya.
Bagaimanapun Shahir tidak menafikan Erra ada memberi kata-kata sokongan dan dorongan kepadanya untuk bertanding dalam program itu.
"Dia ada beritahu ini adalah platform terbaik untuk saya kembali dan mudah-mudahan selepas ini karier nyanyian saya akan berkembang selain mengucapkan selamat maju jaya," ujarnya.
Bercakap lanjut tentang AF Megastar, Shahir berkata dia tidak berhasrat untuk bersaing dengan sesiapa sebaliknya ingin mencabar dirinya sendiri.
Kata Shahir, dia sedar harapan terhadapnya tinggi dan berharap dapat memberikan yang terbaik.
"Saya dah lama tak menyanyi dan buat persembahan pentas jadi saya ingin mencabar diri sendiri.
"Berdebar itu memang ada kerana sedar harapan peminat tinggi tetapi Insya-Allah saya sudah bersedia untuk kembali bangkit," katanya.
Sumber: Mstar Online