Exco Pulau Pinang Akui Kelemahan Kerajaan Negeri


KERAJAAN DAP Pulau Pinang mengakui terdapat kelemahan dalam penyerahan hasil kutipan caruman saliran oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 baru-baru ini.

Malah, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu juga telah mengarahkan MPSP menyerahkan baki kutipan terkumpul itu kepada JPS negeri yang dijangka diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menurut beliau, kutipan semasa Wang Amanah Saliran Negeri itu perlu diserahkan MPSP kepada JPS negeri setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaan.
Sehubungan itu, beliau menafikan wang caruman saliran tersebut diseleweng mana-mana pihak sebaliknya digunakan bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

“Wang amanah itu digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di seluruh Pulau Pinang.

“Bagi tempoh 2008 hingga kini, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM176.9 juta untuk projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh itu hanya berjumlah RM131.9 juta,” katanya dalam satu kenyataan  semalam.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri Satu yang dikeluarkan awal bulan ini menegur MPSP kerana didapati tidak menyerahkan kesemua wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPS negeri untuk diakaunkan.

Serahan Wang Amanah Saliran Negeri Pulau Pinang itu membabitkan jumlah terkumpul sebanyak RM22.09 juta setakat Jun lalu.

Menurut laporan itu lagi, bagi tempoh 2008 hingga Jun tahun lalu juga, sebanyak RM63.39 juta dikutip MPSP dan daripada jumlah itu hanya RM2.2 juta diserahkan kepada JPS negeri.

Ekoran pendedahan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad mempersoal kegagalan tersebut yang menyebabkan banyak projek pencegahan banjir bagi kawasan yang sangat memerlukan tidak dapat dilaksanakan segera.

Malah, kata Muhamad Farid, perkara itu dapat dilihat selepas empat kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda bencana banjir sebanyak 21 kali tahun lalu.

Sumber: MalaysiaGazette