KUALA LUMPUR - Helah sindiket 'love scam' menyamar sebagai 'Farah' dan bertugas sebagai pegawai di Interpol untuk memperdaya mangsa akhirnya terbongkar.
Taktik itu bagaimanapun berjaya memperdaya seorang wanita berusia 40 tahun hingga mengalami kerugian kira-kira RM130,000.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian itu, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya merupakan warga Amerika Syarikat sejak Februari lalu di Facebook.
Menurutnya, sepanjang perkenalan itu, suspek berjaya memujuk mangsa dengan ayat cinta kepada mangsa yang masih belum berkahwin ini.
"Bagaimanapun, pada April lalu, mangsa telah terima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Farah dan bertugas sebagai pegawai di Interpol yang mendakwa teman lelakinya warga AS telah ditahan atas kes jenayah.
"Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang sebagai jaminan untuk pembebasan rakannya itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh sejak April hingga Ogos, mangsa telah memindahkan wang sebanyak 38 kali ke dalam enam akaun yang mana kesemuanya dianggarkan berjumlah RM130,000.
Katanya, setelah merasakan tiada sebarang tindakan selepas pemindahan wang dibuat, mangsa merasakan dirinya tertipu sebelum membuat laporan polis pada 11 Ogos lalu. Bertindak atas maklumat dan risikan, dua lelaki Nigeria dan dua wanita warga Singapura serta Britain berusia lingkungan 3-an berjaya ditahan dalam serbuan berasingan pada semalam dan awal pagi semalam.
"Serbuan dibuat di rumah teres tiga tingkat dan kondominium di Setia Alam, Shah Alam serta Damansara. Polis berjaya merampas beberapa barang antaranya telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai palsu," katanya.
Tambah Roy lagi, soal siasat mendedahkan wanita Singapura itu mengaku menyamar sebagai 'Farah' untuk memperdaya mangsa, manakala lelaki Nigeria itu adalah individu yang juga menyamar sebagai lelaki warga Amerika.
"Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang wanita yang bekerja di agensi kerajaan berputih mata selepas ditipu sindiket Macau Scam pada Jumaat lalu setelah terpedaya dengan panggilan telefon oleh individu kononnya tidak menghadiri ke mahkamah berkaitan kad kredit.
"Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM11,900 kepada sindiket," katanya.
Sumber: Sinar Harian