Farhan Kembali Tangkas Di Gawang Lang Merah, Dapat Pujian Netizen


PENAMPILAN meyakinkan penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar sejak beberapa perlawanan lalu menyaksikan beliau akan terus kukuh di posisi tersebut pada masa ini.

Farhan diberi peranan sebagai penjaga gol utama Lang Merah bagi menggantikan Ifwat Akmal Chek Kassim yang masih dalam proses pemulihan selepas mengalas tugas bersama skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22).

Kemampuan Farhan menafikan beberapa percubaan wajib gol lawan terutamanya aksi menentang UiTM FC pada perlawanan kelima Piala Malaysia di Stadium Darul Aman kelmarin mendapat pujian.

Pada pertemuan itu, Kedah melakar kemenangan tipis 1-0.

Pemain berusia 24 tahun itu juga menjadi watak penting Hijau Kuning ketika Kedah membelasah Kelantan 5-0 pada aksi Liga Super dan mengatasi Melaka United 6-2 (Piala Malaysia).

“Prestasi Farhan semakin meningkat dan kita sudah tidak perlu risau di posisi penjaga gol selepas ini.

"Pujian perlu diberikan kerana selain semakin berani berhadapan dengan lawan, pada waktu sama sebenarnya beliau perlu terus mendapat sokongan daripada penyokong sendiri untuk menambahkan keyakinannya,” kata pengendali Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Tambah Nidzam Adzha, kemungkinan besar pemain tersebut akan terus membarisi kesebelasan utama pada aksi seterusnya bertemu Pahang pada perlawanan  Liga Super di Kuantan pada Sabtu ini.

Januari lalu, bekas penjaga gol Harimau Muda itu hilang tempat dalam kesebelasan utama selepas gagal mempamerkan aksi meyakinkan selain tidak mampu menyerap tekanan penyokong menyaksikan posisinya beralih kepada Ifwat Akmal.

Sumber: Sinar Harian