Fasiliti VS Minda Kelas Ketiga


SEHEBAT apa pun kemudahan yang disediakan, tiada maknanya jika masyarakat sendiri tidak menghargai.  

Sikap masyarakat kita yang tidak istiqamah dan dilihat kurang beradab di tempat awam kini masih kekal dalam mentaliti kelas ketiga.

Tinjaun Sinar Harian di beberapa MRT di ibu negara menyaksikan sendiri betapa rakyat negara ini tidak sensitif terhadap isu kebersihan malah turut menggambarkan nilai murni yang dicanang dalam pesanan khidmat awam (PSA) di media massa, gagal membentuk sifat baik dalam segelintir masyarakat.

Tinjauan di beberapa stesen seperti Stesen MRT Pasar Seni, Merdeka dan Bukit Bintang antara yang menjadi mangsa perlakuan tidak bermoral ini.

Puntung rokok dibuang merata-rata terutama di kawasan luar stesen, tisu, bekas minuman dan sebagainya.

Bagi menjaga imej negara dan MRT sendiri, pihak MRT telah membaik pulih mesej Rukun Negara di Stesen MRT Merdeka yang sebelum ini dilaporkan diancam vandalisme.

Bukan itu sahaja, sikap tidak peduli pengguna MRT terhadap keutamaan tempat duduk kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung masih berlaku meskipun jelas terpampang imej keutamaan di dinding tren.

Kejadian berlaku di Stesen Merdeka, kelihatan seorang lelaki warga emas terpaksa menggunakan kerusi dibawa sendiri untuk duduk di dalam MRT kerana penumpang lebih muda di situ bersikap tidak peduli dan buta hati.

Apabila tiba di stesen berikutnya, barulah kelihatan lelaki warga emas itu mengambil tempat duduk di kerusi penumpang setelah ramai pengguna yang turun.

Situasi ini membuktikan rakyat negara kita masih jumud dan tiada hati perut. Sedangkan etika seperti itu sudah diterapkan sejak tadika dan sentiasa dipaparkan di media massa.

Persoalannya, sampai bila rakyat Malaysia akan meneruskan sikap 'bangang' ini dan membiarkan imej negara tercalar di mata dunia. Kemudahan dah canggih tapi minda masih kolot.

Sumber: Sinar Harian