Filem Bruce Lee Jalani Penggambaran Di P.Pinang


KUALA LUMPUR - Keunikan bangunan bersejarah di Pulau Pinang yang seakan-akan replika Hong Kong pada era 50-an antara faktor menjadikan negeri berkenaan sebagai pilihan untuk melatari filem biopik Bruce Lee, Little Dragon.

Kisah legenda kungfu berkenaan dijadualkan turut menjalani penggambaran di Studio Pinewood, Johor, dan Guangzhou, China, bermula September depan.

Naskhah berkenaan bakal diterbitkan oleh Bruce Lee Entertainment yang juga syarikat di bawah Bruce Lee Film Company.

Penerbit Bersama, Shannon Lee yang juga anak bintang tersohor terbabit berkata, latar semula jadi yang ditonjolkan menerusi kewujudan bangunan lama dan bersejarah sangat sempurna untuk penggambaran filem terbabit.

"Kisah ini memberi fokus terhadap kehidupan zaman muda bapa saya di Hong Kong, selain pencetus inspirasinya kepada seni mempertahankan diri serta kemenangan dalam pertandingan tarian cha-cha.

"Ia garapan asal mengenai bapa saya sepanjang usia pembesarannya," katanya selepas membuat lawatan di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, semalam.

Bruce Lee yang dikenali sebagai Master of kungfu dilahirkan di San Francisco, Amerika Syarikat, tetapi dibesarkan di Kowloon, Hong Kong.

Beliau yang meninggal dunia pada usia 32 tahun pada 20 Julai 1973 didedahkan ke layar perak sejak kecil oleh bapanya yang juga bintang opera kantonis terkenal.

Sementara itu, akui Shannon, filem berkenaan bakal mendapat sentuhan pengarah India yang pernah dicalonkan untuk Oscar, Shekhar Kapur.

Bersandarkan jadual, sebahagian besar penggambaran adalah berlatarkan pulau mutiara dan ia dijangka selesai sekitar November, manakala tayangannya diharap dapat diadakan pada tahun depan.

Pada masa sama, ulasnya, pengumuman mengenai pemilihan pelakon utama untuk menggalas watak pakar seni bela diri itu pada usia 17 atau 19 tahun hanya dapat dilaksanakan beberapa minggu lagi selepas perincian akhir.

Sebelum ini, pihak produksi terbabit mengesahkan seorang pelakon Malaysia antara empat calon disenarai pendek daripada 5,000 bakat dari seluruh dunia yang melalui proses uji bakat.

Sumber: BH Online