MACHANG - Seorang gadis berusia 20-an di sini, dianggap gila oleh masyarakat di sekelilingnya selepas sering dilihat bercakap sendiri, menggeleng kepala dan bergaduh dengan seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Difahamkan gadis berkenaan berdepan situasi itu selepas terkena sihir.
Rumahnya juga didakwa sering dirasakan berbahang dan tidak selesa untuk didiami sehingga memaksanya menumpang di rumah kawan untuk makan dan berehat.
Dia lebih selesa bersendiri dan berkurung di dalam bilik serta hidup di dalam dunianya sendiri.
Bukan sahaja gadis itu, malah keluarganya, emak serta abangnya turut mengalami pelbagai situasi pelik dan tidak selesa apabila berada di rumah sendiri.
Pengamal Perubatan Islam Iyra Shifa, Ahmad Iqbal Nasuha Mahmad Kamel berkata, pada peringkat awal perubatan secara tiba-tiba dua ekor ular keluar dari tanah dengan seekor daripadanya mati.
Katanya, seekor lagi ular yang tidak diketahui spesiesnya itu kemudiannya melarikan diri.
Tambahnya, apabila ular tersebut dimasukkan ke dalam air Yasin, bau busuk seperti bangkai menerpa hidung padahal ular tersebut baharu sahaja mati.
Menurutnya, pada sesi rawatan, perut gadis itu juga menjadi buncit secara tiba-tiba dan wujud satu bayang-bayang di dinding rumah seperti seorang tua bongkok.
“Rumah pesakit juga secara tiba-tiba dirasakan seolah-olah berasap. Keluarga itu dipercayai terkena sihir yang berpunca daripada hasad dengki seseorang dan ingin melihat ahli keluarga itu meninggal dunia.
“Alhamdulillah selepas beberapa kali berubat secara rawatan Islam, gadis tersebut menunjukkan perkembangan positif dan lebih yakin diri dalam meneruskan kehidupan sehariannya,” katanya.
Ahmad Iqbal Nasuha berkata, Iyra Shifa yang beroperasi di Kampung Dusun Buluh, dekat Pulai Chondong di sini, menawarkan rawatan secara Islam kepada orang ramai termasuk mereka yang mengalami gangguan misteri termasuk sihir dan masalah kesihatan.
Sumber: Sinar Harian