KUALA LUMPUR - Sebuah rumah kedai yang dijadikan kediaman dan stor simpanan buah-buahan, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Kebakaran di Jalan Sultan itu turut merosakkan sebahagian bangunan pusat perubatan Cina dan restoran tinggal berhampiran.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menghantar lapan jentera dengan kekuatan 40 anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 pagi.
"Kebakaran dipercayai bermula dari stor buah itu dan kemudiannya merebak ke bangunan perubatan Cina serta restoran tinggal bersebelahan.
"Tiada kecederaan mahu pun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, api dapat dikawal pada jam 7.20 pagi tadi.
Jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber: BH Online