Guru Pukul Pelajar Guna Buku Teks Di Kepala, Tengkuk


SEGAMAT - Seorang bapa di Felda Kemelah, di sini, mendakwa anak lelakinya dipukul seorang guru lelaki di kepala dan belakang tengkuknya menggunakan buku teks, Rabu lalu.

Azman Abd Aziz, 51, berkata, dia yang berniaga di kantin sekolah tersebut hanya dimaklumkan kejadian yang menimpa anak lelakinya, Nor Aiman, 12, kira-kira pukul 10.15 pagi selepas anaknya itu mengadu kepadanya.

“Saya kesal apabila guru tersebut memukul kepala anak saya beberapa kali menggunakan buku teks tanpa sebarang alasan munasabah dan akibat kejadian tersebut, dia (anak) sering mengadu sakit kepala kepada saya.

“Anak saya juga trauma dan tidak mahu pergi ke sekolah selama dua hari dan semalam (kelmarin) selepas dipujuk oleh saya dan isteri, dia kembali semula bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia juga telah membawa anak keempat daripada lima beradik itu menjalani pemeriksaan doktor sebelum membuat satu laporan di Balai Polis Tenang Stesen, Ahad lalu akibat tidak berpuas hati dengan tindakan guru tersebut.

Katanya, dia juga bimbang kejadian tersebut akan menjejaskan persiapan anaknya untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selain turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya dan anaknya itu.

“Saya difahamkan, anak saya dipukul apabila guru Bahasa Inggeris tersebut tidak berpuas hati dengan jawapan anak saya dan mengatakannya berbohong sebelum memukul kepala dan belakang tengkuk anak saya menggunakan buku teks.

“Sebagai bapa saya tidak kisah jika anak saya dihukum guru sekiranya melakukan kesalahan dan hukuman itu bukan memukul di bahagian kepala yang merupakan bahagian sensitif,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap kejadian yang menimpa anaknya itu mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab dan berharap guru tersebut disiasat kerana dia dimaklumkan kejadian melibatkan guru tersebut memukul murid bukan pertama kali berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat ketika dihubungi berkata, beliau telah mengarahkan pegawai PPD Segamat untuk melakukan siasatan.

“Kita akan melihat dahulu dakwaan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil dan sekiranya betul dakwaan ini, ia tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan profesion perguruan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian