PENYANYI nasyid, Hafiz Hamidun mengakui bahawa beliau tidak pernah melakukan hubungan kelamin sejak awal pernikahan beliau dengan Siti Sharifah Amin, 30, (Joy Revfa).
Dalam satu sidang media yang diadakan di Damansara hari ini, Hafiz berkata kerana ada keraguan membabitkan pernikahannya sehingga beliau mengambil tindakan sedemikian.
"Bila membabitkan isu di awal pernikahan itu, saya cuba menjalankan tanggungjawab sebagai mana pasangan suami-isteri tapi kerana ada keraguan dalam satu perkara tersebut saya bertindak ikut undang yang benar.
"Jadi saya tidak pernah melakukan hubungan suami isteri, sejak awal," katanya.
Dalam pada itu, katanya pada awalnya beliau berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu rumah tangganya, namun segalanya tidak 'menjadi' sehinggalah ke hari ini.
"Saya dah lakukan yang terbaik, jadi saya reda dan terima seadanya," katanya.
Dalam pada itu, menghuraikan mengenai keraguan membabitkan perkahwinannya, Hafiz berkata 'ketika berkahwin Joy Revfa masih berstatus isteri orang'.
"Pada 8 Ogos 2017 saya dan Siti Arifah telah ke Pejabat Agama Islam Daerah Petaling untuk menyerahkan surat cerai taklik tersebut dan menjalani siasatan bersama Pegawai Tadbir Agama Daerah.
"Hasil siasatan mendapati bahawa Siti Arifah masih dalam ikatan perkahwinan dari suami yang terdahulu ketika pernikahan kami yang berlangsung pada 1 Mei 2017," katanya.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata, laporan pernikahan sepanjang dua muka surat telah dipanjangkan ke Mahkamah Syariah Petaling untuk difaraqkan (dibubarkan) pernikahan disebabkan pernikahan tidak sah kerana Siti Arifah masih isteri orang.
"Saya ingin mengesahkan bahawa pada pagi Isnin 21 Ogos 2017 saya telah menyerahkan permohonan Faraq (pembubaran) nikah di antara saya dan Siti Arifah di Mahkamah Syariah Daerah Petaling.
"Namun permohonan tersebut tidak dapat didaftarkan kerana pihak Siti Arifah juga telah membuat permohonan yang sama pada hari Jumaat 18 Ogos 2017 di Mahkamah Syariah Shah Alam," katanya.
Ujarnya, lanjutan pemfailan permohonan faraq itu, beliau telah pada 22 Ogos 2017 melantik Peguam Syarie, Tuan Haji Azmi bin Tan Sri Dr Mohd. Rais dari firma guaman Zulkifli Yong Azmi & Co. bagi mewakili pihaknya berhubung tuntutan faraq nikah yang telah difailkan oleh Siti Arifah.
"Tidak ada sebarang keperluan untuk saya menjawab sebarang persoalan yang timbul dari kenyataan pihak Siti Arifah kerana tiada kepentingan awam dan ada fakta-fakta yang disembunyi serta dikelirukan," katanya.
Justeru mengakhiri kata-katanya, Hafiz berharap agar urusan beliau akan dipermudahkan dan kebenaran akan tetap terbela.
"Tidak akan ada sebarang kenyataan lanjutan sementara menunggu kes ini diselesaikan sebagai menghormati kredibiliti dan kearifan pihak Mahkamah," katanya lagi.
Semalam, Siti Arifah memfailkan pembubaran pernikahan mereka pada 18 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tindakan suaminya itu yang meragui pernikahan mereka.
Siti Arifah yang ditemui di pekarangan mahkamah itu berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan hak dan statusnya sebagai isteri Hafiz yang sah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu.
Siti Arifah sebelum ini pernah berkahwin dengan Datuk Ray Imran dan mempunyai seorang anak lelaki.
Sumber: Sinar Harian