Hanya Selangor Masih Belum Lafaz IBR.


KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan agar kerajaan negeri Selangor mengambil serius usaha meme­rangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa dengan melafaz serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada kadar segera.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, hanya Selangor yang masih belum melafazkan dan menandatangani ikrar tersebut.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu tarikh daripada kerajaan Selangor untuk melaksanakan IBR pada kadar segera bagi menunjukkan komitmen mentadbir negeri dengan bersih tanpa rasuah dan salah guna kuasa.

“Yang tinggal hanya Selangor, saya harap kerajaan negeri terbabit memandang perkara ini dengan serius dan turut melaksanakan IBR.

“Kalau boleh dalam tahun ini juga selesai.

“Kita sudah menghubungi kerajaan negeri Selangor, cuma tunggu tarikh, harap-harap cepat sikit kerana secara dasarnya mereka setuju,” katanya pada majlis Lafaz dan Menandatangani IBR bersama Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Pada majlis tersebut, beliau menyaksikan barisan kepemimpinan kerajaan negeri Kelantan diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob melafazkan serta menandatangani IBR.

Sumber: Kosmo