Hari Kebangsaan Disambut Meriah Dengan Semangat Cintakan Negara



RAKYAT seluruh negara hari ini menyambut Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan ke 60 dalam suasana meriah, patriotik, solidariti dan semangat cintakan negara.

Sambutan ini lebih ceria apabila rakyat masih bergembira dengan kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA 2017.

Di ketika umat Islam membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, esok (Jumaat) program World#QuranHour berlangsung di seluruh negara. 

Di Kuala Lumpur, bacaan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan oleh kira-kira 3,000 umat Islam bergema di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).dan di Dataran Merdeka

Perayaan hari ulang tahun kemerdekaan 2017 peringkat kebangsaan di ibu negara disambut penuh meriah dan gilang gemilang dengan kehadiran lebih 500,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka.

Menyaksikan perarakan itu ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan pemimpin negara.

Dataran Merdeka bergema dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali seperti perisytiharan Hari Kemerdekaan di lokasi yang sama 60 tahun lalu.

Najib yang melaungkan ungkapan keramat itu, memilih gaya Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tanggal 31 Ogos 1957.

Sementara itu pengisian acara pada sambutan kali ini digarap selari dengan konsep "Menghidupkan Kembali Penghayatan dan Semangat Merdeka di Stadium Merdeka Pada Tahun 1957" sebagai menunjukkan semangat solidariti, perpaduan dan cintakan negara.

Acara perbarisan dan perarakan diisi dengan Persembahan Khas Hari Kebangsaan 2017 iaitu Imbasan Pra Kemerdekaan dan Kemerdekaan, Acara Menaikkan Bendera, Bacaan Ikrar Rukun Negara, Laungan Merdeka, Era Kepimpinan semua Perdana Menteri dan Persembahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Sebanyak lapan kontinjen utama terlibat bagi segmen perbarisan dan perarakan iaitu Kenegaraan, Perpaduan, Animasi dan Industri Kreatif, Sukan SEA dan Para ASEAN, TN50, Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara dan Komponen Rakyat Bersatu.


Sementara itu di Kedah kira-kira 5,000 orang menyaksikan perarakan 2,000 peserta kontinjen pada sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri Kedah yang bermula sejak pukul 8 pagi di pekarangan Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini. 

Sebanyak 95 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pasukan keselamatan, universiti serta parti politik terlibat dalam perarakan dan perbarisan tersebut.

Raja Muda Kedah, Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menerima tabik penghormatan daripada perserta kontinjen yang meintasi pentas diraja yang turut disertai Exco serta ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta kerabat diraja.

Hadir sama anggota Exco dan ketua jabatan mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang berada di Mekah untuk menunaikah haji. 

Perarakan itu dimeriahkan dengan persembahan pancaragam polis dan sekolah.

Manakala di Kangar, Perlis ulang tahun kemerdekaan malam tadi disambut dengan meriah oleh 15,000 orang penduduk keluar menyaksikan perhimpunan dan perarakan yang diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra.

Kira-kira 5,000 peserta daripada 75 kontinjen yang mewakili pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pasukan keselamatan, universiti serta parti politik terlibat dalam perarakan itu yang turut menggunakan dua ekor gajah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke majlis bekenaaan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Di Pulau Pinang pula, kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Padang Kota Lama di sini bagi menyaksikan perbarisan sempena sambutan itu pagi ini.

Acara bermula pasa pukul 8.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum diikuti persembahan kebudayaan yang memaparkan kehidupan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Suasana sepi seketika apabila sajak Kemerdekaan turut dibacakan bagi menyuntik semangat patriotik.
Sementara itu, seramai 5,700 peserta yang terdiri daripada 75 kontinjen jalan kaki dan 13 kontinjen kenderaan mengambil bahagian dalam perbarisan.

Di Seremban, 5,000 pengunjung membanjiri Padang Awam Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan Ke-60 malam tadi., 

Sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan bunga api, nyanyian artis, Waris dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hasan bersama barisan exco kerajaan turut hadiri pada sambutan itu 

Sementara di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat menyertai Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2017 di Dataran Bandaraya Ipoh malam tadi.

Baginda yang menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sambutan hari kebangsaan di negeri lain juga berlansung meriah dengan pelbagai cara diadakan.

Sempena cuti panjang termasuk cuti Hari Raya Adiladha dan cuti umum pada hari Isnin atas kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA Ke-29, memberi ruang kepada umat Islam untuk melakukan korban dan melancong ke tempat peranginan di seluruh negara. - Kedahnews.com