Hari Kemerdekaan Jangan Dicemari Dengan Unsur Politik


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihati rakyat terutama sekali rakyat Kedah agar tidak mencampur adukkan persefahaman politik dengan  Hari Kebangsaan ke-60.

Rakyat diminta agar mengetepikan  perbezaan fahaman dan pemikiran politik masing-masing demi mencapai dan membolehkan Hari Kemerdekaan negara disambut dengan aman dan meriah.

Tambahnya, kemerdekaan bukanlah dikhaskan bahkan tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik sebaliknya ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia dan ia disambut bersama tanpa mengira kaum dan agama.

"Jadi, kita perlu sama-sama berdiri teguh sebagai rakyat Malaysia bagi membolehkan keamanan, kemajuan dan pembangunan negeri dan negara dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini malam tadi.  

Justeru itu, beliau menggesa agar seluruh rakyat Kedah terutamanya agar bersatu hati dan saling bekerjasama dalam usaha untuk memupuk perpaduan rakyat yang berbilang kaum agar pengisian kemerdekaan dicapai.

"Pelbagai cabaran dan halangan yang telah kita tempuh untuk peroleh kemerdekaan dan hasil daripada kerjasama dan perpaduan kesemua kaum banyak yang telah kita peroleh sepanjang tempoh 60 tahun kemerdekaan ini," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta semua  rakyat Kedah untuk memasang Jalur Gemilang di setiap rumah, premis perniagaan dan kerajaan sebagai tanda kesetiaan dan kasih terhadap negara ini. - Kedahnews.com