Hasilkan Filem Dari Pengalaman Terkena Sihir


TANJUNG MALIM - Pengalaman perit terkena ilmu sihir menjadi inspirasi buat pengarah dan penerbit filem terkenal tanah air, Mamat Khalid mengarah telefilem terbaru iaitu Semerah Darah yang bakal ditayangkan pada September depan.

Telefilem berdurasi kira-kira dua jam itu menampilkan lima kisah iaitu Buka Hijab, Menyinggah, Pengasih, Kesumat dan Tuju-Tuju yang menjalani penggambaran sekitar Tanjung Malim.

Barisan pelakonnya terdiri Kamarul Yusuf, Imuda, Pekin Ibrahim, Aziz M.Osman, Rab Khalid, Sofi Jikan, Jue Aziz, Esma Danial, Ziema Din, Kuniey Muzaini, Fieza Juli, Amy Juliet dan Tj Isa.

Mamat berkata, pengalamannya terkena ilmu sihir diterjemahkan dalam telefilem itu dan bertujuan menyedarkan masyarakat hari ini bahawa dalam dunia serba moden masih ada lagi pengamal ilmu khurafat yang dilarang disisi agama Islam.

Katanya, penggunaan ilmu sihir untuk tujuan tertentu memang membahayakan kehidupan masyarakat hari ini kerana kesan buruknya bukan kepada orang yang disihirkan sahaja tetapi kepada pengamalnya juga yang tidak terlepas menanggung akibat perbuatan jahat itu.

“Ada pelbagai jenis sihir yang bertujuan untuk merosakkan kehidupan orang lain mungkin kerana dendam, iri hati dan marah pada hari ini menyebabkan kita perlu berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian.

“Telefilem ini mengetengahkan pelbagai amalan khurafat iaitu sihir membabitkan orang yang disihir dan pengamal sihir bagi menyedarkan masyarakat bahawa kesan sihir amat bahaya,” katanya ketika ditemui di Tayangan Wayang Pacak, Semerah Darah di Sarang Art Hub, di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Citra Amal Ziaq Nawawi dan pelakon Semerah Darah iaitu Imuda, Ziema Din, Tj Isa, Isma Daniel dan Pekin Ibrahim.

Mamat menasihatkan agar individu yang mengamal ilmu sihir meninggalkan amalan yang ditegah agama itu kerana jika dibiarkan berterusan lambat laun boleh meruntuhkan institusi sosial masyarakat hari ini.

Sumber: MyMetro