ORANG ramai diminta tidak terpedaya dengan panggilan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang meminta memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menyelesaikan saman atau kes lain.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, kebelakangan ini, IPD Putrajaya menerima panggilan telefon daripada orang ramai bertanya sama ada kenderaan mereka terbabit dalam kes kesalahan trafik dan langgar lari.
Katanya, mereka mendakwa menerima panggilan daripada IPD Putrajaya dan meminta mereka menyelesaikan saman atau kes dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertentu.
"Saya ingin menjelaskan polis sudah membuat laporan berkaitan panggilan ini sejak beberapa minggu lalu.
"Panggilan telefon yang diterima orang ramai didapati dibuat oleh sindiket tertentu dengan tujuan menipu atau mencari keuntungan melalui panggilan palsu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.
Rosly berkata, nombor telefon yang digunakan sindiket juga sama dengan nombor telefon di IPD Putrajaya.
"Sehubungan itu, saya menasihatkan supaya orang ramai yang terpedaya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya.
Sumber: MyMetro