Sempena Aidiladha yang diraikan Jumaat ini, TV1, TV2 dan TVi menyajikan empat telefilem menarik dengan pengisian dan penghayatan pada 1 dan 2 September ini.
Telefilem Ke Pintu Kaabah dijayakan Catriona Ross, Tisha Samsir, Izzue Islam, Kuna Muzani dan Mustapha Kamal, mengisahkan Mek Som, ibu tunggal memendam hasrat untuk menunaikan ibadat haji ke Makkah. Kehilangan suaminya di laut menyebabkan kehidupannya bersama anaknya, Fadilah semakin sukar. Fadilah mengambil keputusan bekerja di butik Puan Aisah di bandar bagi menambah duit simpanan ibunya ke Makkah.
Farid yang baru pulang belajar dari luar negara, tertarik dengan Fadilah dan mula berkawan dengannya. Sebenarnya Farid anak Puan Aisah dan merahsiakan kepulangannya ke Malaysia daripada pengetahuan ibu bapanya. Dia mahu hidup berdikari terlebih dahulu. Fadilah pula sering bercerita dengan Farid mengenai hasrat ibunya hendak ke Makkah.
Menerusi Aku Tak Sesat pula paparkan kisah kepulangan Adha ke kampung tetapi dipandang serong sebilangan besar orang kampung kerana kerjayanya sebagai komposer muzik metal.
Adha dianggap sesat kerana berkecimpung dalam dunia muzik metal. Telefilem ini dibintangi Hasnol Rahmat, Balqish Semundur Khan, Redzuan Adha dan Syed Ali.
Slot Citra Khas Aidiladha di TV2 pula menyiarkan telefilem Lembu Siapa lakonan Sharifah Sakinah, Mohd. Amirullah Azmi, Fathil Dani, Delimawati dan Zain Hamid pada Sabtu, jam 9.30 malam.
Ia mengisahkan pemuda kampung merungut dengan keadaan Halim melepaskan lembunya yang diwariskan daripada arwah bapanya berkeliaran di sekeliling kampung.
Leteran mereka didengari Mak Nor, emak Halim yang juga tidak puas hati dan bimbang dengan sikap anaknya.
Pak Tam, pemilik warung kampung juga menegur sikap Halim dan dia mula berubah apabila terdengar Intan, anak Tok Baha kemalangan terlanggar lembunya.
Ketika Halim membeli makanan, Pak Tam beritahu ada pelanggan hendak membeli lembu untuk korban raya dan dia nasihatkan Halim agar beri makanan yang betul kepada lembu yang hendak dijual untuk korban.
Terus hayati keberkatan sambutan Hari Raya Korban dengan telefilem 13 Tiang Cinta lakonan mantap Beto Kusyairy, Siti Rawiyani, Nina Iskandar dan Shah Iskandar pada 1 September, jam 2 petang dan ulangannya 9 malam di TVi.
Telefilem arahan Mikael Andre ini mengisahkan Naim, sesat dalam kehidupan dan mencuri beg tangan cikgu cantik bernama Uzma. Orang ramai menangkap Naim dan mahu menyerahkannya kepada polis. Namun Uzma merayu agar Naim dilepaskan memandang dia mendapat balik begnya.
Naim tertarik dengan rupa dan kebaikan hati Uzma dan cuba mengekorinya tetapi tidak berjaya. Semasa mencari Uzma, Naim bertemu Imran, seorang Ustaz dan pendakwah bebas.
Imran cuba menyebarkan agama Islam di satu kampung Orang Asli. Oleh kerana Naim tiada tempat tinggal, Imran mengajaknya tinggal dengannya. Naim mula tertarik dengan kerja amal yang dibuat Imran dan turut mendalami pengetahuannya mengenai Islam.
Sumber: MyMetro