Hishammuddin, Nazri Mahu Mahathir Disiasat


ALOR SETAR - Beberapa pemimpin UMNO juga mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ahli keluarganya turut  disiasat pihak berkuasa di atas kekayaan dimiliki bekas Perdana Menteri itu selama 22 tahun memerintah negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah tidak wajar hanya sebelah pihak yang didakwa sahaja disiasat manakala pihak membuat dakwaan tidak perlu berbuat apa-apa.

Beliau mengingatkan bahawa bekas Perdana Menteri itu juga tidak sesempurna mana selama memerintah negara kerana bukan merupakan malaikat.

“Jangan kita sahaja menari mengikut rentak mereka. Tun Mahathir juga perlu disiasat (atas kekayaan dimilikinya dan ahli keluarga),”  katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.

Turut hadir  Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha UMNO Bahagian Kangar, Datuk Abdul Jamil Saad dan para perwakilan UMNO.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata  Dr. Mahathir juga perlu sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aset bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.

 Sementara itu  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, adalah tidak adil hanya Timbalan Perdana Menteri sahaja yang disiasat berhubung tuduhan memiliki wang sebanyak RM230 juta yang dilemparkan oleh Mahathir.

“Kalau Ahmad  Zahid berani untuk nyatakan dia rela disiasat, saya rasa tidak adil kalau beliau sahaja yang disiasat, orang yang membuat tuduhan pun patut disiasat sebab anaknya kaya.

"Kita pun nak tahu anak beliau tiba-tiba jadi kaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Dr. Mahathir baru-baru ini membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.

Sumber : Utusan