Hukuman Penjara 18 Bulan Rafizi Kekal


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli, untuk mengetepikan pelaksanaan hukuman 18 bulan penjara atas pertuduhan mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap pertuduhan kedua iaitu mendedahkan kandungan satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB, kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan terbabit tanpa kebenaran, Rafizi, 40, dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman dikenakan ke atasnya.

Azman berkata, hukuman terhadap Naib Presiden PKR itu tidak terlalu berat kerana mahkamah turut mengambil kira jumlah minimum bagi pertuduhan dan ia memadai.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Peguam Gobind Singh Deo bagi menangguhkan hukuman sehingga rayuan selesai di Mahkamah Rayuan manakala jaminan RM20,000 dikekalkan.

Pada 14 November 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan, mengenakan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan. Hukuman itu diperintah berjalan serentak.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lalu mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut peruntukan undang-undang, Mohd Rafizi akan hilang kelayakan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum kerana seseorang yang disabitkan dan dihukum denda RM2,000 atau penjara lebih setahun tidak boleh menjadi calon.

Sumber : BH Online