Hunny Madu Hamil Anak Kedua



KUALA LUMPUR - Penyanyi, Hunny Madu, 33, mendedahkan kecenderungan mengenakan persalinan longgar atau berjaket menyebabkan ramai tidak menyedari dia hamil anak kedua.

Katanya, rakan dan peminat terkejut apabila dimaklumkan kandungannya kini sudah memasuki enam bulan.

"Sebenarnya, cuma keluarga serta kawan rapat saja tahu saya mengandung. Bukan mahu berahsia tetapi memang kandungan saya tidak nampak sebab selalu pakai baju longgar. Kebiasaannya saya juga suka mengenakan jaket.

"Lucunya ada kawan yang sudah lama tak berjumpa terkejut bila dapat tahu saya hamil lagi kerana kata mereka perut saya kecil. Apatah lagi selepas saya katakan ia sudah trimester kedua.

"Syukur, rezeki ini datang memang pada masanya. Anak sulung kami, Eva Madina kini sudah lima tahun," katanya yang mengakui berasa mual ketika mengendalikan program Dari Bilik Sebelah pada Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH), Mei lalu.


Terdahulu, menerusi laman Instagram, Hunny madu yang baru-baru ini bercuti di sebuah pulau bersama suami dan anak mereka menunjukkan dirinya yang berbadan dua.

Bekas penyampai radio itu turut menulis mengenai bilangan ahli keluarganya yang bakal menjadi empat pada keterangan gambar.

Pemilik nama sebenar Hani Farhana Mohd Hatim itu mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid pada tahun 2010.

Hunny pernah muncul dengan single solo berjudul Hello disusuli dendangan duet bersama Kayda Aziz menerusi Go Hard Or Gostan serta Gucci Dowh.

Kini, dia tampil dengan single terbaharu, Get Money, dengan penampilan penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Radio 3000.

Sumber: BH Online