KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Sahar Abdullah menyangkal dakawaan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali kononnya majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu bersifat Pro-China.
.
Sahar menjelaskan bahasa Melayu digunakan dalam ucapan Perdana Menteri dan Pengerusi MRL tetapi memandangkan budaya sebagai orang Islam menghormati tetamu, itu sebabnya menggunakan khidmat penterjemah bahasa.
“Persembahan pentas menunjukan identiti budaya Malaysia, di mana penyambut tetamu juga berpakaian kebaya malah majoriti yang hadir dalam majlis bersejarah itu adalah rakyat Malaysia.
“Bacaan doa juga sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan dan Jalur Gemilang dipasang megah di atas pentas utama,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah, kata Sahar.
Kelmarin , Syed Hassan mendakwa majlis berkenaan seolah-olah diadakan di negara China dengan bendera dan tulisan pada pemidang.
Pelancaran ECRL yang diusahakan syarikat negara berkenaan seolah-olah ‘menjajah’ dan memonopoli majlis yang diadakan di Kuantan itu.
Bagaimanapun, gambar menunjukkan bendera dan pemidang bertulisan Cina itu adalah satu majlis berasingan melibatkan pemaju ECRL di sebelah pagi sebelum majlis pecah tanah melibatkan Perdana Menteri pada sebelah petang.
Dakwaan Syed Hassan itu tidak betul kerana beliau mungkin tidak berada di majlis berkenaan dan hanya berpandukan kepada maklumat tidak rasmi. - Kedahnews.com