DUNGUN - Kehadiran dua ekor yu paus di perairan Rantau Abang, di sini menarik perhatian pengunjung yang datang ke situ selain turut menjadi tular di laman sosial Facebook sejak dua minggu lalu.
Aksi spesies dilindungi dipercayai sedang mencari makanan dalam jarak kira-kira 50 meter dari pantai itu sempat dirakam Pegawai Penyelidik Perikanan di Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Pusat Penyu dan Ekosistem (TUMEC), Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad.
Malah, segelintir nelayan tempatan juga pernah terserempak dan menyaksikan yu paus atau nama saintifiknya rhincodon typus ketika mereka turun ke laut mencari rezeki.
Mohd Tamimi berkata, dia sempat merakam video kehadiran dua anak ikan yu paus yang dianggarkan bersaiz tiga hingga lima meter.
Menurutnya, sebelum video dirakam, dia menerima panggilan daripada nelayan mengatakan dua ekor anak ikan yu paus sedang berlegar-legar mencari makanan di sekitar pantai.
"Ikan ini tak mengancam manusia. Mereka jinak. Sebenarnya kehadiran mereka di perairan Terengganu bukanlah luar biasa sebab setiap tahun memang mereka datang cari makanan khususnya bermula April hingga September.
"Saiz dewasa ikan ini sebesar sebuah bas dan saya pernah terserempak dengan yu paus bersaiz 12 meter pada 2013," katanya.
Pantau spesies terancam sejak 2013
Tambahnya, pihaknya membuat pemantauan dan pemerhatian spesies terancam berkenaan sejak 2013 dan penemuan serta kehadirannya direkod bermula 2015.
"Kita memang bagi tumpuan terhadap yu paus dah lama dan pergerakan ini dilihat di antara Pulau Redang, Pulau Kapas hingga ke Pulau Tenggol," katanya.
Katanya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini dia mendapat maklumat segelintir nelayan ada menemuinya di perairan Rantau Abang dan Dungun iaitu bermula Pantai Sura hingga Rantau Abang.
"Aksi dua yu paus yang saya jumpa itu dirakam pada 8 Ogos lalu dan kalau bernasib baik memang nelayan akan temui ikan ini," katanya.
Malah katanya, yu paus memang tidak berbahaya kepada manusia, sebaliknya sikap sesetengah manusia yang rakus boleh mengancamnya.
"Kita nasihatkan nelayan, penyelam dan orang ayam supaya tak ganggu spesies ini kalau terserempak bagi mengelak sesuatu yang buruk atau menyebabkan haiwan ini bertindak agresif," katanya.
Pergiat kajian populasi
Mohd Tamimi berkata, pelbagai faktor menyebabkan sesetengah spesies ikan cenderung dan hampir pupus.
"Jabatan Perikanan Malaysia melindungi spesies ikan marin terancam melalui penguatkuasaan seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai mamalia Akuatik atau penyu di perairan perikanan Malaysia dan peraturan-peraturan perikanan (pengawalan spesis ikan terancam ) 1999 (pindaan) 2008.
“Jika melanggar peraturan dan sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Malah katanya, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang juga kini mempergiat kajian pengutipan data kedamparan terhadap spesies marin terancam di perairan Malaysia.
“Kita akan mempergiat kajian populasi dan migrasi melalui kaedah satelit tagging dan traking terhadap spesies marin terancam.
“FRI Rantau Abang juga dalam perancangan untuk membangunkan semula Rantau Abang sebagai pusat pelancongan terunggul di Malaysia atau di mata dunia. Contohnya melalui keunikan wujudnya yu paus di perairan negara dan juga konservasi penyu,” katanya.
Nelayan kerap jumpa
Sementara itu, seorang nelayan, Ahmad Ziad Bahanuddin, 32, berkata, sepanjang menjadi nelayan dia pernah terserempak banyak kali dengan yu paus tetapi tidak mengganggunya.
Menurutnya, dia pernah terserempak dengan yu paus hampir 10 kali dan tidak akan mendekati haiwan itu.
"Memang kita tak kacau dan cepat-cepat lari sebab saiznya ada sebesar bot yang kita gunakan.
"Sebagai nelayan memang patut kita sama-sama bantu pelihara dan pulihara spesies ikan terancam ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian
