KELANA JAYA - Lapan tahun menabung duit hasil pendapatan sebagai penoreh getah, bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi harga barangan tidak menentu di pasaran.
Abdul Rahman Omar, 60, dan isterinya Che Gon Mat Isa, 58, membuktikan ia bukan mustahil direalisasikan jika memiliki azam dan berdisiplin tinggi.
“Terus terang, memang sukar menabung apatah lagi harga getah tidak menentu.
“Namun, saya beritahu isteri, niat kami hanya satu untuk menunaikan ibadah haji bersama jika diberi peluang,” katanya di sini, malam kelmarin.
Abdul Rahman yang berasal dari Kampung Sawa Besar, Pendang, Kedah, berkata, akhirnya doa dan impian mereka dimakbulkan apabila berjaya mengumpulkan wang hasil jualan getah bagi menampung kos perbelanjaan mengerjakan haji.
Lebih bermakna lagi, pemergian pasangan itu ke Tanah Suci turut disertai dua sepupu, Halijah Hassim, 70, dan Che Ama Manis, 61, sekali gus menjadi kegembiraan berganda mereka sekeluarga.
Halijah berkata, seperti Abdul Rahman dan Che Gon, dia turut menggunakan wang simpanan hasil jualan getah sejak beberapa tahun lalu bagi membolehkannya mengerjakan haji.
“Kami berempat memang merancang ke Tanah Suci. Justeru, kami mendaftar nama di TH dengan harapan dapat pergi pada musim sama.
“Siapa sangka, hasrat itu tercapai apabila kami berempat menerima surat tawaran daripada TH selepas Aidilfitri lalu,” katanya.
Berbeza pula dengan Che Ama apabila kos perbelanjaan menunaikan haji ditanggung sepenuhnya anak tunggal wanita berkenaan.
“Perjalanan selama enam jam dari Pendang ke sini, tidak terasa apabila memikirkan kami bakal menunaikan haji kelak.
“Alhamdulillah perjalanan kami ke sini dipermudahkan dan selamat tiba di sini, sebelum menunggu penerbangan jam 1.30 pagi nanti (semalam),” katanya.
Sumber: MyMetro