Indonesia Tempang Jumpa Malaysia, Tertekan Tiga Tonggak Utama Tak Dapat Beraksi


SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) Indonesia dalam keadaan tertekan selepas tiga tonggak mereka termasuk kapten Hansamu Yama Pranata tidak dapat diturunkan dalam aksi separuh akhir menentang Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selain Hansamu yang kini digantung satu perlawanan selepas mengumpul kad kuning kedua dalam aksi menentang Kemboja kelmarin, turut terpaksa menjadi penonton adalah pemain tengah Muhammad Hargianto dan penyerang Marinus Mariyanto Wanewar.

Bagaimanapun Hansamu yang beraksi di posisi pertahanan menolak dakwaan bahawa skuad Garuda Muda bermasalah untuk menurunkan barisan terbaik berdepan pasukan tuan rumah.

“Tugas kami semua di sini sama, untuk menjadi juara. Kekuatan kami bukan terletak kepada satu, dua pemain saja tapi satu pasukan. Saya tidak ada, pemain lain ada untuk bermain, kualiti sama,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Petaling Jaya, semalam.

Hansamu beraksi dalam perlawanan terakhir menentang Kemboja dengan kemenangan 2-0 untuk memastikan mereka mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.

Meskipun rakan sepasukannya bakal berdepan lebih 60,000 sorakan padu penyokong Malaysia manakala Indonesia hanya 10,000 penyokong, Hansamu percaya ia bukan masalah besar buat mereka.

“Tak ada masalah, main ada penyokong atau pun tidak ada penyokong. Tujuan kita di sini mahu menang, tapi memang kalau kita tak ada penyokong kerugian sedikit tapi tak ada masalah,” katanya.

Susulan ketiadaan Hansamu, jurulatih Luis Milla Aspas kemungkinan akan melantik Evan Dimas sebagai kapten untuk mengetuai pasukan.

Sumber: MyMetro